Lampard pilihan ideal kemudi The Blues 

Oleh Staff Writer 16 Jun 2019 577
Lampard pilihan ideal kemudi The Blues 
Bekas pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo, menyifatkan Frank Lampard sebagai "susuk yang sesuai" untuk menggantikan Maurizio Sarri di Stamford Bridge.

Sarri dilaporkan semakin hampir meninggalkan Chelsea selepas kurang 12 bulan di kelab itu dengan cadangan beliau akan kembali Serie A sebagai pengendali Juventus.

Lampard menjadi calon kegemaran peminat untuk menggantikan pengurus berbangsa Itali itu berikutan kempen pertama yang positif dalam bidang pengurusan ketika menguruskan kelab Liga Kejuaraan, Derby County, yang dikecewakan Aston Villa dalam final play-off ke Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Ada pihak yang mempersoalkan pengalaman cetek pengurus berusia 40 tahun itu, namun Di Matteo percaya bekas kelabnya itu harus mengambil risiko dengan pelantikan bekas pemain tengah berkenaan. 

Ditemui dalam majlis Invitational Costa Smeralda, Di Matteo berkata: "Dia (Lampard) pastinya calon yang tepat. Dia mempunyai keperibadian. Saya telah mengikuti perkembangan Derby sejak tahun lalu dan pasukannya menampilkan permainan yang sangat menarik, dia mempunyai pengalaman yang diperlukan. 

"Dia sangat secocok dengan jawatan itu. Sama ada ia berlaku sekarang atau tidak, hanya masa yang akan menentukannya. 

"Anda boleh mengatakan bahawa ia terlalu awal tetapi anda perlu memberinya peluang. Frank mempunyai kesemua kriteria itu dan saya rasa dia akan membuatkan ramai orang gembira sekiranya dia dilantik."

Di Matteo, yang menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala FA bersama Chelsea pada 2012 ketika menggalas tugas berkenaan selama lapan bulan, tidak terkejut dengan nasib Sarri. 

Bekas pengurus Napoli itu memenangi Liga Europa dalam kempen sulungnya bersama pasukan London tersebut selain membantu The Blues meraih kedudukan ketiga EPL, namun gaya permainan yang diterapkannya gagal memenangi hati penyokong. 

"Itulah hakitkat industri ini pada hari ini," kata Di Matteo. 

"Perpindahan sering terjadi. Saya tidak pasti apakah butirannya tetapi beliau kelihatan mahu kembali ke Itali dan beliau mungkin menerima tawaran menarik daripada Juventus -- salah sebuah kelab terbesar di Itali dan Eropah.

"Namun, Chelsea akan mendapatkan pengurus yang sesuai untuk memimpin pasukan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen