Lampard yakin mampu berjaya di Chelsea tanpa pemain baru

Oleh Staff Writer 17 Julai 2019 971
Lampard yakin mampu berjaya di Chelsea tanpa pemain baru
Pengendali Chelsea, Frank Lampard, menegaskan dia mampu menghadirkan kejayaan di Stamford Bridge musim ini walaupun mengalami sekatan perpindahan.

The Blues digantung daripada mendaftarkan pemain baru untuk dua jendela perpindahan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati mereka bersalah melanggar peraturan mendapatkan pemain bawah 18 tahun.

Chelsea telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) setelah menafikan sebarang kesalahan.

Lampard -- yang menggantikan Maurizio Sarri yang meninggalkan pasukan selepas tamat musim 2018-19 -- diharapkan untuk menghadirkan kejuaraan dalam musim pertama mengendalikan Chelsea tetapi berdepan cabaran sukar susulan penghijrahan Eden Hazard ke Real Madrid sambil tiada sebarang penambahan dilakukan.

Namun, bekas tonggak tengah Chelsea itu yakin dengan kemampuan pemain sedia ada.

"Saya banyak menyaksikan Chelsea musim lalu di bawah kendalian Sarri," katanya.

"Berdasarkan penamat yang mereka raih, menjulang trofi Liga Europa dan melangkah ke Liga Juara-Juara Eropah, ia musim yang berjaya. Namun, bagi saya, tidak perlu memikirkannya lagi.

"Saya sangat mengenali kelab ini serta semua pemain. Saya mempunyai cara tersendiri dan mahu bekerja dengan setiap pemain. Saya boleh katakan bahawa dalam seminggu sesi latihan, saya sangat gembira dengan disiplin dan kualiti mereka. Tugas saya kini adalah bekerja keras dalam pra-musim bersama mereka.

"Saya sukakan pasukan utuk bermain penuh dengan tenaga dan kepantasan, tidak kira sewaktu memegang bola atau tidak, jadi saya mahu memenanginya semula secepat yang boleh.

"Apabila kami memegang bola, saya mahu menggerakkan bola dengan pantas dan mencipta peluang serta memenangi perlawanan. Ia membuatkan kami menikmatinya. Jadi, itu tugas saya sekarang.

"Saya rasa saya mempunyai barisan pemain yang bagus. Kami tidak boleh mendapatkan mana-mana pemain tahun ini, saya sedar tetapi saya tidak perlukan tenaga baru. Saya sangat gembira dengan skuad dan mahu mengecapi kejayaan."

Semalam, Lampard mengesahkan Ethan Ampadu tidak menyertai pasukannya ke Jepun memandangkan dia bakal dipinjamkan ke kelab lain.

Bagaimanapun, pengurus berusia 41 tahun itu bersedia untuk melihat pemain daripada akademi dan memberi peluang dalam skuad utama.

"Semua orang tahu saya melihat pemain muda dalam akademi," tambahnya.

"Kami memiliki pemain yang bersaing untuk merebut tempat dalam skuad utama. Kini, mereka perlu mencipta perbezaan. Mereka perlu beraksi dengan baik untuk menyertai pasukan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen