Liverpool ikat bintang muda Belanda 

Oleh Staff Writer 28 Jun 2019 4410
Liverpool ikat bintang muda Belanda 
Liverpool bersetuju untuk menandatangani pemain remaja Belanda, Sepp van dan Berg, daripada PEC Zwolle.

Pertahanan berusia 17 tahun itu bakal muncul pemain pertama yang diikat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya mendapat lampu hijau perpindahan antarabangsa.

Liverpool, bagaimanapun, tidak mendedahkan yurannya -- bayaran awal dilaporkan £1.3 juta (RM6.8j) -- sambil menjelaskan Van den Berg telah menandatangani kontrak "jangka masa panjang".

Dia muncul pemain termuda yang menganggotai Zwolle apabila memulakan kariernya pada usia 16 tahun, Mac tahun lalu, dengan membuat 22 penampilan dalam Eredivisie.

"Ini satu perasaan yang luar biasa," kata Van den Berg kepada laman sesawang kelab barunya itu.

"Ini adalah kelab terbesar di dunia dan ini merupakan impian menjadi kenyataan. Saya sangat gembira.

"Saya melihat ramai pemain akademi di sini yang diserapkan dalam pasukan utama. Ia sesuatu yang sukar dipercayai, terutama apabila kelab besar seperti ini mengetengahkannya.

"Sudah tentu, (Jurgen Klopp) adalah seorang pengurus yang hebat dan salah satu sebab mengapa mereka berjaya dan juga antara punca saya datang ke mari. 

"Saya fikir ini adalah tempat terbaik untuk saya berkembang serta mengharapkan dapat tampil dalam banyak perlawanan di sini."

Pengerusi Zwolle, Adriaan Visser, berkata: "Sepp adalah pemain berbakat yang hebat, malangnya dia akan meninggalkan PEC Zwolle.

"Bagaimanapun, kami bangga apabila pemain akademi ini mengambil langkah besar seperti ini."

Pemain skuad remaja Belanda itu dijangka memuktamadkan perpindahannya ke Anfield bulan depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen