Lloris rehat hingga hujung tahun kerana cedera ligamen

Oleh Staff Writer 8 Oktober 2019
Lloris rehat hingga hujung tahun kerana cedera ligamen
Kapten Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, terpaksa direhatkan hingga penghujung tahun ini selepas hasil imbasan mengesahkan penjaga gol berkenaan mengalami kecederaan ligamen.

Pemain senior itu terseliuh siku selepas melakukan pendaratan yang kurang kemas ketika pasukannya tewas 0-3 kepada Brighton and Hove Albion dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata penjaga gol utamanya itu tidak akan cergas hingga hujung tahun ini.

Spurs kemudian mengeluarkan satu kenyataan untuk mengesahkan bahawa Lloris tidak dapat berlatih sepanjang tempoh berkenaan walaupun tidak perlu menjalani pembedahan.

"Hugo Lloris telah menjalani pemeriksaan lanjut pagi ini selepas terseliuh siku dalam perlawanan menentang Brighton, Sabtu lalu," kata kenyataan itu.

"Pemeriksaan itu menunjukkan bahawa walaupun pembedahan tidak diperlukan, kapten kelab ini telah mengalami kecederaan ligamen dan dijangka tidak dapat kembali berlatih sebelum hujung tahun 2019.

"Hugo kini dalam pemantauan dan akan menjalani waktu rehat dan pemulihan di bawah pengawasan kakitangan perubatan kami di Hotspur Way."

Terdahulu, Deschamps ketika ditemui di Clairefontaine berkata: "Saya sudah bercakap dengannya selepas emosinya stabil susulan apa yang berlaku.

"Amat sukar untuk memberitahu anda tarikh tertentu mengenai pemulihannya.

"Kerisuan mengenai keretakan tulang sudah tiada, namun ligamennya cedera.

"Saya bukanlah pakar anatomi.

"Apapun, setakat yang kami tahu, dia tidak akan dapat beraksi dalam waktu rehat antarabangsa ini dan mungkin yang berikutnya," katanya.

Lloris akan terlepas dua aksi kelayakan Euro 2020 menengtang Iceland dan Turki sepanjang bulan ini.

Dia juga tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Moldova dan Albania bulan depan.

Pemain berusia 32 tahun itu turut dijangka akan terlepas baki 16 perlawanan Spurs tahun ini, termasuk empat dalam Liga Juara-Juara Eropah selain aksi Liga Perdana menentang Liverpool, West Ham, Manchester United, Wolves dan Chelsea.

Spurs, yang hanya memenangi tiga perlawanan sepanjang musim ini, berada di tangga kesembilan Liga Perdana dengan 11 mata daripada lapan perlawanan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen