Luiz puji Arsenal raih kemenangan dalam penampilan pertama

Oleh Staff Writer 18 Ogos 2019 2170
Luiz puji Arsenal raih kemenangan dalam penampilan pertama
David Luiz memuji aksi merendah diri dan semangat tinggi Arsenal selepas meraih kemenangan dalam penampilan pertamanya buat The Gunners di Emirates, semalam.

Alexanre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol ketika mereka mengatasi Burnley 2-1 tatkala skuad kendalian Unai Emery itu mengutip mata maksimum daripada dua aksi pertama buat julung kali dalam tempoh 10 tahun.

Ashley Barnes meledak jaringan di antara dua gol yang diraih tuan rumah tetapi pertahanan Arsenal, Luiz, jelas menyinar dalam penampilan pertamanya sejak melengkapkan perpindahan daripada Chelsea.

Pemain berusia 32 tahun itu berterima kasih kepada peminat The Gunners yang menerima kehadirannya dan memuji persembahan anak buah Emery itu.

"Saya sangat gembira berada di sini, cuba menjalankan tugas dan menikmati aksi bersama pemain berkualiti," katanya.

"Banyak perkara yang perlu dipelajari pasukan ini. Ia boleh meningkat dengan banyak dan kami mampu bersaing dalam semua kejohanan, sedikit demi sedikit dan bekerja keras.

"Satu penghormatan untuk berada di sini kerana semua pemain merendah diri, mahu belajar serta meningkat dan kami mahu kelab ini kembali menyinar.

"Saya cuba melakukan yang terbaik. Gaya kami adalah cuba bermain bola sepak. Kami mengubahnya sedikit kerana perlawanan itu memerlukan kami beraksi dengan cara berbeza.

"Namun, apabila anda meraih keyakinan serta berlatih bersama pasukan, anda perlu mengikut perancangan.

"Saya rasa saya melakukannya dengan baik."

Dalam aksi semalam, Aubameyang -- yang menyumbat gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United minggu lalu -- menghasilkan jaringan kemenangan kedua pada minit ke-64.

Dani Ceballos melakukan bantuan gol, meneruskan aksi cemerlang setelah sepakan sudutnya membolehkan Lacazette meledak jaringan pembukaan.

Peminat Arsenal memberikan tepukan buat pemain pinjaman daripada Real Madrid itu sewaktu dia meninggalkan padang sebelum pemain termahal kelab, Nicolas Pepe, masuk selepas rehat.

"Kami rasa lebih kuat," ujar Aubameyang.

"Pemain seperti Luiz, Ceballos dan Pepe hadir di sini dan kini kami lebih kuat. Saya rasa kami mampu mencabar kedudukan empat terbaik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen