Maguire jelaskan insiden dengan Batshuayi 

Oleh Staff Writer 18 Februari 2020 2162
Maguire jelaskan insiden dengan Batshuayi 
Harry Maguire menjelaskan dia tidak berniat untuk menendang Michy Batshuayi pada babak pertama sewaktu Manchester United menewaskan Chelsea 2-0, awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stamford Bridge, Maguire meledakkan gol kedua United dengan menanduk masuk bola sepakan sudut Bruno Fernandes tatkala pelawat kini dibezakan lima mata dengan skuad kendalian Frank Lampard itu.

Bagaimanapun, Chelsea terpaksa menelan kepahitan selepas Maguire terlepas daripada sebarang hukuman walaupun dilihat menendang Batshuayi dalam satu insiden di garisan tepi.

Kajian daripada Pembantu Pengadil Video (VAR) menyaksikan Maguire tidak dipersalahkan dan pemain England itu mendakwa dia tidak berniat untuk menyakiti penyerang Chelsea itu.

"Saya faham mengapa ia dilihat seperti tendangan. Saya terjatuh," katanya.

"Saya fikir dia akan jatuh di atas badan saya. Reaksi saya pantas menegakkan kaki, jadi jika dia jatuh di atas badan, ia akan membantunya. Mungkin ia tampak lebih teruk berbanding sepatutnya.

"Ia bukan satu tendangan, tiada niat tetapi hanya reaksi semulajadi untuk menegakkan kaki. Jika saya meletakkan tapak kaki, ia akan jadi lebih teruk. Saya meminta maaf kepadanya tetapi ia bagus apabila pengadil memahaminya."




Dalam masa sama, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, juga yakin kaptennya itu tidak bersalah.

"Anda mahu keputusan tepat dibuat dan gembira jika ia berlaku. Ia bukan dibuat tanpa bantuan dan sudah beberapa kali kami jelas memerlukannya," katanya.

"Saya tidak fikir ia kad merah. Saya fikir ia hanya untuk mempertahankan diri kerana pemain lawan tampak akan jatuh ke atas badannya, jadi dia menegakkan kaki."

United kini menduduki tangga ketujuh sekali gus merancakkan perebutan slot ke Liga Juara-Juara Eropah dan Maguire sedar akan kepentingan untuk mengekalkan prestasi.

"Musim ini kami sangat tidak konsisten. Kami menang di Manchester City, menewaskan Chelsea di tempat lawan dan meraih mata ketika berdepan Liverpool," tambah Maguire.

"Namun, kami tidak begitu bagus ketika berdepan pasukan yang lebih tertekan. Ahad ini, kami akan menentang Watford di laman sendiri. Kami tidak terbawa-bawa kerana ia aksi penting dan kami harus dapatkan tiga mata."


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen