Matic kecewa dengan peranan di United

Oleh Staff Writer 16 September 2019 75
Matic kecewa dengan peranan di United
Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic, mengakui kecewa apabila hanya memanaskan bangku pemain simpanan sepanjang musim ini.

Matic melakukan penampilan pertama musim ini ketika United menewaskan Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam kelmarin.

Pemain kebangsaan Serbia itu dimasukkan bagi menggantikan Paul Pogba yang mengalami kecederaan di Old Trafford, namun dia hanya sempat beraksi selama 22 minit.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, lebih memilih untuk menggandingkan Pogba dengan Scott McTominay di bahagian tengah dan Matic berkata: "Sudah tentu (saya kecewa). Saya mahu beraksi. Saya sentiasa memberikan yang terbaik buat pasukan.

"Jurulatih merupakan individu yang akan memilih pemain dan apabila anda duduk di bangku simpanan, anda tidak akan bahagia.

"Namun, saya cuba meyakinkannya untuk mengubah fikiran itu dan memilih saya untuk beraksi.

"Musim ini masih panjang. (Menentang Leicester) anda dapat lihat saya beraksi dan kami memenangi perlawanan itu.

"Saya gembira dan kita akan lihat selepas ini apa keputusan yang akan diambil jurulatih.

"Saya sudah bersedia. Sepanjang 10 tahun ini, saya bermain di tahap tertinggi dan mencuba yang terbaik untuk membantu pasukan dalam setiap perlawanan kerana saya rasa saya adalah pemain penting dan boleh membatu pasukan," katanya.

Ditanya sama ada dia akan bersemuka dengan Solskjaer untuk menyelesaikan situasi itu, Matic -- yang tiba daripada Chelsea pada 2017 --  menambah: "Tidak, saya tidak akan melakukannya. Saya menunjukkan kualiti di atas padang, dalam sesi latihan dan dalam perlawanan. Itu bukan cara saya untuk merebut tempat."

Walaupun ia permulaan musim yang mengecewakan, pemain berusia 31 tahun itu memuji rangkaian pemain muda United.

Marcus Rashford, 21, Aaron Wan-Bissaka (21), Daniel James (21) dan McTominay (22) telah memaparkan aksi terbaik buat United, yang kini di tangga keempat liga dengan tujuh mata daripada lima perlawanan.

"Ia tidak kisah sama ada anda berumur 18 atau 35 tahun, anda beraksi untuk pasukan kerana anda layak.

"Manchester United memberikan peluang buat mereka yang membesar di akademi ini dan ia sesuatu yang bagus kerana di kelab besar yang lain, mereka tidak akan mendapat peluang itu.

"Di kelab besar, sentiasa ada tekanan untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Musim ini, kita dapat melihat siapa yang sudah bersedia untuk beraksi di tahap tertinggi. Saya gembira untuk mereka.

"Saya gemar melihat pemain muda di atas padang dan harap-harap mereka dapat memberikan tenaga yang lebih segar buat kami sepanjang musim ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen