McClean mohon maaf, padam akaun Instagram

Oleh Muzaffar Musa 28 Mac 2020 1099
McClean mohon maaf, padam akaun Instagram
James McClean didenda potongan gaji selama dua minggu dan bersetuju untuk memadamkan akaun Instagramnya selepas didapati melakukan gurauan berkaitan Tentera Republik Irish (IRA), demikian disahkan Stoke City.

Dengan saranan penjarakan sosial di United Kingdom berikutan pandemik Covid-19, pemain sayap Stoke itu mengirimkan kiriman kontroversi di laman Instagramnya.

Dengan kapsyen "Pelajaran sekolah hari ini - sejarah" dengan emoji ketawa, pemain berusia 30 tahun itu mengirimkan gambarnya sedang menghadap anaknya dengan memakai balaclava -- imej yang sinonim dengan IRA.

Stoke dalam satu kenyataan mengesahkan McClean menerima hukuman berkenaan dengan berkata: "Pemain itu telah menyatakan penyesalannya dan mengakui bahawa kiriman itu tidak sesuai dan menyinggung perasaan."

McClean menambah: "Saya tidak pernah berniat untuk menyebabkan rasa tidak senang tetapi saya kini sedar bahawa saya telah melakukannya dan mahu memohon maaf.

"Saya sudah berbincang dengan kelab ini dan akan memadam akaun Instagram saya." Pemain kebangsaan Republik Ireland itu mendakwa bahawa dia kerap diejek di England kerana pegangannya.

Dia turut diejek oleh penyokong Stoke kerana enggan memakai simbol bunga popi, yang merupakan simbol untuk memperingati Remembrance Sunday.

McClean berasakan pemakaian simbol itu akan menunjukkan sikap tidak menghormati kepada pihak yang tidak bersalah dan kehilangan nyawa dalam konflik itu, terutama tragedi Bloody Sunday.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen