McTominay mampu jadi legenda Manchester United -- Matic 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 April 2020 916
McTominay mampu jadi legenda Manchester United -- Matic 
Nemanja Matic percaya Scott McTominay mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi "pemain legenda" di Manchester United.

Setelah berkembang untuk menjadi salah satu tunjang di bahagian tengah United sejak diberi peluang dalam pasukan utama di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2016-17, McTominay tidak bernasib baik apabila mengalami kecederaan lutut dalam kemenangan 4-1 ke atas Newcastle United pada 26 Disember lalu.

Sejak kembali beraksi bulan lalu, pemain Scotland itu telah membantu pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer berkenaan menikmati rentetan 11 tanpa kalah termasuk menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 2-0 ke atas Manchester City di Old Trafford.

Matic, yang turut menyerlah beberapa bulan kebelakangan ini sehingga mendorong United untuk memanjang kontraknya selama setahun lagi, menganggap rakan sepasukannya itu mampu menjadi aset kepada mana-mana kelab besar.

 
"Kami sering berbincang terutama ketika dia mula beraksi bersama pasukan utama tetapi ketika ini dia sudah menjadi pemain senior, bagaikan mempunyai 10 pengalaman bersama kesebelasan utama," katanya MUTV. 

"Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengannya.

"Saya fikir dia akan menjadi pemain yang sangat penting buat Manchester United dalam tempoh 10 tahun akan datang. Dia merupakan pemain dan individu yang anda sentiasa berharap akan berada di bilik persalinan.

"Dia sangat profesional dengan kaki berkualiti tinggi. Mentalitinya adalah satu keperluan di Manchester United jadi saya fikir mana-mana jurulatih, dengan mana-mana kelab sekalipun dia mampu beraksi dengan sangat baik.

"Saya tumpang gembira untuknya dan United kerana mempunyai pemain seperti ini dalam pasukan. Dia hanya perlu meneruskan usahanya dan saya pasti dia akan menjadi salah seorang legenda Manchester United pada satu hari nanti."

Dengan masa depannya yang masih samar di Old Trafford, Matic berasa bertanggungjawab untuk memimpin pemain muda.

"Saya masih ingat ketika saya berumur 20, 21, 22 tahun, saya sentiasa menjadikan corak latihan dan kelakuan pemain yang lebih tua sebagai contoh," tambah pemain berusia 31 tahun itu.

"Saya fikir ia penting dan saya harap saya dapat membantu pemain-pemain muda ini di dalam bilik persalinan memandangkan bilangan mereka yang ramai."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen