Neville: Mari boikot media sosial

Oleh Staff Writer 21 Ogos 2019 2081
Neville: Mari boikot media sosial
Pengurus skuad wanita kebangsaan England, Phil Neville, menyeru seluruh komuniti bola sepak supaya memboikot media sosial selepas pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, menjadi mangsa berprofil tinggi terbaru berdepan serangan perkauman.

Pogba menjadi sasaran perkauman selepas sepakan penaltinya diselamatkan ketika The Red Devils terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Wolverhampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Penyerang Chelsea, Tammy Abraham, dan pemain Reading, Yakou Meite, turut menerima layanan yang sama sejak beberapa minggu lalu susulan gagal menyempurnakan sepakan penalti.

United telah mengeluarkan kenyataan dengan melabel cemuhan ke arah Pogba sebagai "menjijikkan" dan menasihatkan syarikat media sosial berkenaan mengambil tindakan sementara mereka juga berusaha untuk mengenal pasti pelaku dalam hal itu.

Bagaimanapun, Neville tidak melihat impak yang boleh dilakukan oleh Twitter dan Instagram, sebaliknya menggesa setiap individu yang tergolong dalam komuniti bola sepak bersatu membanteras masalah itu.

“Saya sudah hilang kepercayaan kepada sesiapa saja yang mengendalikan media sosial, jadi ayuh kita menghantar mesej yang berkuasa, keluar daripada media sosial selama enam bulan.

"Ayuh kita lihat apa kesannya terhadap syarikat media sosial ini," katanya.

Pertahanan United dan rakan sepasukan Pogba, Harry Maguire, menyeru setiap akaun media sosial harus mendapatkan pengesahan dan Neville bersetuju dengan pendekatan itu.

"Maguire berkata sebelum ini bahawa akauan media sosial harus mendapatkan pengesahan, memberikan butiran yang lengkap untuk dikenal pasti supaya mengelak perkara-perkara sebegini berulang," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen