Pemain muda Arsenal akan belajar daripada kegagalan di Watford -- Emery

Oleh Staff Writer 16 September 2019 78
Pemain muda Arsenal akan belajar daripada kegagalan di Watford -- Emery
WATFORD 2 ARSENAL 2

Unai Emery percaya kegagalan Arsenal untuk menewaskan Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris lewat malam tadi akan membantu pemain muda pasukannya untuk tempoh yang panjang.


The Gunners hampir pasti meraih tiga mata di Vicarage Road selepas Pierre Emerick-Aubameyang menghasilkan gol berganda dalam separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Tom Cleverley memanfaatkan kesilapan Sokratis Papastathopoulos untuk mengurangkan defisit itu sebelum Roberto Pereyra memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh David Luiz.

The Hornets -- yang menghasilkan 31 percubaan tepat -- boleh menganggap mereka tidak bernasib baik kerana tidak memperoleh tiga mata, namun Emery berasakan kegagalan pasukannya untuk mengekalkan pendahuluan itu sebagai pengalaman berguna buat sebahagian pemain muda mereka.

"Kami mempunyai sebilangan pemain muda dan mereka perlu menghadapi pengalaman seperti hari ini," katanya dalam sidang media.

"Matteo (Guendouzi) masih muda dan amat beremosi; adakalanya dia perlu melakukan kesilapan untuk meningkatkan diri. Dalam babak pertama, dia melakukan kesilapan dan mereka gagal menjaringkan gol.

"Ketika kami menganalisis setiap kesilapan, kami lebih gemar berbincang secara kolektif. Itu tanggungjawab saya.

"Saya tidak mahu katakan ia salah seorang pemain atau seorang lagi pemain. Tanggungjawab saya adalah untuk memberikan mereka keyakinan bagi melaksanakan perancangan kami," katanya.

Pengurus itu kecewa apabila Arsenal gagal mengekang aksi agresif Watford dan berkata pasukannya perlu segera memperbaiki keadaan itu.

"Separuh masa kedua menjadi sukar kerana mereka menukar perancangan untuk lebih menekan kami.

"Jika kami dapat menangani tekanan itu, kami dapat menggerakkan barisan tengah dan mempunyai ruang untuk meneruskan perancangan kami.

"Kami tidak dapat mengawal permainan dan mematahkan serangan mereka.

"Mereka pasukan yang baik dan telah membuktikannya dalam babak kedua.

"Kita juga bercakap tentang keperluan untuk mengekalkan ketenangan seperti yang kami mahukan, dan kami tidak melakukannya. Kami perlu berusaha dan memperbaiki setiap perkara," tambahnya.

Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal kini berada di tangga ketujuh selepas memungut lapan mata daripada lima perlawanan manakala Watford kekal di tangga tercorot dengan dua mata.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen