Penyerang Manchester United digesa asah penyudah 

Oleh Shaiful Shamsudin 1 April 2020 399
Penyerang Manchester United digesa asah penyudah 
Ole Gunnar Solskjaer menuntut penggempur Manchester United supaya memperkemaskan sentuhan penyudah dan pergerakan mereka -- dengan bantuan daripada pasangan masing-masing.

United menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum saingan musim ini digantung akibat penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Pengurus itu berharap dapat melihat pasukannya menggunakan kesempatan ini untuk memperbaiki aspek di bahagian tertentu permainan mereka termasuk penyudah.

"Pemain sedang menjalani program individu dan mereka mempunyai diet tersendiri dan dalam tempoh ini, saya harap mereka dapat memanfaatkannya dengan melakukan sesuatu yang istimewa, sesuatu yang spesifik buat peranan dan tugasan mereka," katanya kepada laman sesawang kelab itu semalam.

"Penyerang harus meningkatkan jaringan atau pergerakan mereka. Kebanyakan pemain mempunyai kemudahan yang baik di laman rumah masing-masing jadi saya harap isteri mahupun teman wanita mereka boleh melakukan beberapa hantaran dan sepakan lintang.

 
"Saya pula berada di laman rumah dengan meluangkan masa dengan anak-anak."

Solskjaer telah menghabiskan waktunya bersama keluarganya sambil tetap berhubung dengan pemain dan kakitangannya.

Bekas pemain Norway itu berkata ia adalah sukar untuk merancang bilakah saingan musim ini akan bersambung atau sama ada ia akan diteruskan.

"Saya akan terus berhubung dan berkomunikasi dengan kakitangan serta pemain. Sudah tentu, saya sudah terbiasa melihat mereka selama berjam-jam lamanya setiap hari, jadi ini sesuatu yang berbeza," katanya lagi.

"Sekarang saya hanya dapat berhubung dengan mereka melalui kumpulan WhatsApp dan mesej. Kami mempunyai perancangan sesi yang akan dimulakan sebaik sahaja boleh kembali (berkumpul). Tetapi ia belum pasti dan kami langsung tidak pasti bilakah ia akan bermula.

"Itulah kebaikan teknologi jadi kami bernasib baik. Kami boleh terus berhubung dan melihat antara satu sama lain. Kami boleh menghantar mesej dan membalas dengan cepat malah kadang-kadang akan bersembang lama menerusi telefon. Kami sentiasa berhubung."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen