Perebutan liga belum berakhir -- Gundogan

Oleh Staff Writer 11 November 2019 919
Perebutan liga belum berakhir -- Gundogan
Ilkay Gundogan menegaskan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris masih belum berakhir walaupun pemain tengah itu menerima hakikat bahawa Manchester City kini berada di kedudukan yang tidak selesa.

Juara bertahan itu tewas 3-1 di tangan Liverpool dalam pertemuan di Anfield, awal pagi tadi, sekali gus ketinggalan sembilan mata di belakang lawan kendalian Jurgen Klopp itu selaku pendahulu.

Musim lalu, City tetap menjulang trofi liga walaupun ketinggalan tujuh mata dan Gundogan berharap mereka dapat mempamerkan semula kebangkitan itu.

"Kami harus menerimanya tetapi perjalanan masih jauh. Musim lalu ketika Januari, kami jauh di belakang dan dapat mengubah keadaan," katanya.

"Namun, kami tidak lagi bebas. Kami perlu melihat bagaimana pesaing berjuang, terutama Liverpool, dan ia membuatkan kami tidak selesa.

"Kami perlu terus mencuba untuk beraksi dengan baik dan mendapatkan seberapa banyak mata yang boleh. Saya tidak fikir perebutan kejuaraan liga telah berakhir, begitu juga dengan pemain Liverpool kerana mereka profesional.

"Kami semua cuba untuk melakukan yang terbaik di atas padang tetapi kadangkala ia tidak menjadi. Kami hanya manusia."

City ketinggalan seawal minit keenam di Anfield apabila rembatan kencang Fabinho memberikan pendahuluan buat tuan rumah selepas pelawat dinafikan sepakan penalti susulan bola terkena tangan Trent Alexander-Arnold.

Mohamed Salah dan Sadio Mane menambah dua lagi gol buat Liverpool sebelum Bernardo Silva menghasilkan jaringan sagu hati pada minit ke-78 tetapi Gundogan berpendapat gol pendahuluan lawan itu membuatkan City terluka.

"Ia membunuh. Mungkin juga disebabkan tindakan sebelum jaringan itu dihasilkan. Saya fikir mereka berfikiran positif selepas situasi melibatkan bola terkena tangan itu dan Fabinho menjaringkan gol," katanya.

"Sentiasa sukar apabila lawan menjaringkan gol terlebih dahulu, terutama di Anfield, dan terus melebarkan kedudukan tidak lama selepas itu, dengan penyokong dan emosi yang ditampilkan.

"Ia memerlukan mentaliti yang kuat untuk menentangnya dan malangnya mereka menambah gol kedua tidak lama kemudian. Ia satu kekalahan dan kami harus menerimanya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen