Pochettino beri isyarat bakal kemudi pasukan EPL, LaLiga

Oleh Staff Writer 17 Januari 2020 2818
Pochettino beri isyarat bakal kemudi pasukan EPL, LaLiga
Mauricio Pochettino berhasrat untuk meneruskan karier pengurusannya di Sepanyol atau England sambil melabel kedua-duanya merupakan liga terbaik di dunia.

Bekas pengurus Tottenham itu, yang dipecat dan digantikan oleh Jose Mourinho, November lalu, dikaitkan dengan jawatan di Barcelona sebelum Quique Setien dinamakan sebagai pengganti Ernesto Valverde.

Pochettino dikaitkan dengan Manchester United tatkala The Red Devils mengharungi musim yang tidak tekal di bawah Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus berusia 47 tahun itu kelihatan sudah bersedia untuk menggalas cabaran dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), namun dia juga mengagumi LaLiga, di mana dia memulakan karier pengurusannya bersama Espanyol.

Dia berkata di LaLiga TV: "Bagi saya, saya sangat bertuah untuk memulakan karier sebagai pengurus bersama Espanyol di Barcelona dan kemudian ke EPL untuk belajar bahasa dan budaya yang berbeza, ia membentuk saya menjadi orang yang lebih baik hari ini.

"Saya kini mempunyai lebih banyak pengetahuan dan pengalaman hebat. EPL tetap EPL. Bola sepak dilahirkan di England tetapi saya fikir LaLiga memiliki gaya bola sepak yang hebat dan pengurus yang luar biasa."

Dia menambah: "England dan Sepanyol merupakan dua liga terbaik di dunia."

Pochettino dilaporkan sempat mendekati jawatan di Barcelona biarpun sebelum ini menegaskan bahawa dia tidak mungkin ke Camp Nou ekoran hubungannya dengan seteru setempat, Espanyol.

Sejurus Setien memeterai kontrak sehingga Jun 2022, Pochettino mengakui dia berminat untuk menuruti jejak langkah bekas pengurus Real Betis itu. 

"Barcelona, tentu saja, merupakan salah sebuah pasukan terbaik di dunia. Sudah tentu di bawah pengurus baru, semua orang mengharapkannya meneruskan falsafah yang sama," katanya.

"Valverde telah melaksanakan tugas yang hebat dalam LaLiga dan bersama Barcelona, kini ia merupakan cabaran besar buat Quique Setien. Dia menunjukkan minat yang luar biasa terhadap Johan Cruyff dan gaya bola sepak Barcelona.

"Saya fikir ia adalah satu peluang yang baik untuknya memenuhi impiannya dan ia sesuatu yang mengujakan untuk mengikuti perkembangannya."



​Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen