Pochettino nyatakan komitmen bersama Tottenham

Oleh Staff Writer 6 Oktober 2019
Pochettino nyatakan komitmen bersama Tottenham
Mauricio Pochettino menyatakan komitmennya bersama Tottenham Hotspur dan menafikan khuatir mengenai status jawatannya selepas sekali lagi tewas.​

Finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lalu itu menamatkan minggu suram dengan kekalahan 3-0 di tangan Brighton and Hove Albion di Stadium Amex.

Kapten, Hugo Lloris, terpaksa diusung keluar selepas mengalami masalah kecederaan lengan yang serius ketika cuba menghalang hantaran lintang, terjatuh dan menghadiahkan The Seagulls gol pendahuluan pada minit ketiga.

Spurs dilihat belum dapat menemui rentak selepas jaringan daripada Neal Maupay itu dan kekalahan 7-2 di tangan Bayern Munich sebelum ini ditambah dengan keperitan dua lagi gol oleh Aaron Connolly.

Bulan lalu, Pochettino mengakui dia berdepan skuad bermasalah tetapi menegaskan tahap kesetiaannya bersama pasukan tidak berubah.

Bekas pengendali Southampton itu dikaitkan ke Manchester United dan Real Madrid pada musim lalu dan sebelum ini, dia menyatakan akan mempertimbangkan untuk meninggalkan Spurs sekiranya menjulang trofi Liga Juara-Juara, Jun lalu.

"Komitmen saya masih ada selepas lima tahun setengah," katanya.

"Pakar bola sepak di kaca televisyen perlu bercakap dan memberi pendapat. Saya perlu menerima kritikan. Ia tidak mengubah pandangan saya terhadap mereka.

"Saya tahu tentang perniagaan. Kepercayaan tetap ada. Saya berpegang dengannya.

"Sehingga akhir, saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik. Selepas itu, ia bukan keputusan saya."

Kekalahan semalam menyaksikan Spurs kini tewas buat kali kelima musim ini tatkala mereka hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir bagi semua kejohanan, termasuk disingkirkan oleh kelab Liga Dua, Conchester United, dalam saingan Piala EFL.

Sambil mendakwa keputusan mengenai masa depannya berada di luar bidang kuasanya, Pochettino berkata kebarangkalian untuk kehilangan jawatan pengurus bukan sesuatu yang ingin difikirkan.

"Saya tidak risau," katanya.

"Apa yang merisaukan saya adalah kehidupan, bukan bola sepak. Bola sepak adalah permainan. Kadangkala anda menang atau kalah.

"Dua aksi terakhir adalah situasi yang sukar untuk diterima tetapi saya tidak mengikut falsafah.

"Apa yang menakutkan saya adalah kehidupan, bukan bola sepak. Bola sepak memerlukan kekuatan, keberanian, bijak membuat keputusan dan sudah tentu menghadapi cabaran apabila dalam keadaan sukar.

"Itu yang akan kami lakukan, menghadapi perkara negatif dan berusaha keras mengubah corak ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen