Pogba mahu Solskjaer kendali United secara tetap

Oleh Staff Writer 21 Mac 2019 1776
Pogba mahu Solskjaer kendali United secara tetap
Paul Pogba mahu Ole Gunnar Solskjaer diberikan tugas sebagai pengendali tetap Manchester United selepas menghadirkan semula kegembiraan dalam skuad.

Solskjaer memimpin United untuk meraih 14 kemenangan daripada 17 perlawanan dalam semua kejohanan selepas mengambil alih daripada Jose Mourinho, Disember lalu.

Walaupun mengalami kekalahan berturut-turut kepada Arsenal dan Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA, mereka hanya ketinggalan dua mata daripada kelompok empat terbaik liga sementara diundi berdepan Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pogba, yang kembali menemui sentuhan terbaik di bawah pimpinan Solskjaer, mahu pengendali sementara itu diberikan kontrak secara tetap.

"Sememangnya kami mahu dia kekal bersama United," kata Pogba. "Kami telah meraih keputusan yang positif. Saya memiliki hubungan yang rapat dengan Solskjaer dan dia sangat rapat dengan pemain-pemain.

"Solskjaer seorang pengurus yang sangat mengenali kelab ini.

"Dia seorang jurulatih yang gembira dan meningkatkan keyakinan pemain-pemain.

"Ia memberikan kami kebebasan untuk menikmati saat bermain bola sepak."

Pogba dilaporkan tidak lagi memiliki persefahaman dengan Mourinho sejak permulaan musim ini sementara kehilangan tempat dalam kesebelasan utama selepas dilucutkan jawatan selaku penolong kapten pasukan.

Bintang Perancis itu bersetuju terdapat masalah melibatkan keyakinan sebelum Solskjaer tiba tetapi dia memilih untuk memberikan tumpuan kepada masa depan.

"Saya tidak gemar bercakap mengenai perkara yang lepas. Saya mahu memberikan fokus kepada masa depan kerana ia adalah lebih penting."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen