Ramsey sahkan beralih angin ke Juventus 

Oleh Staff Writer 12 Februari 2019 677
Ramsey sahkan beralih angin ke Juventus 
Aaron Ramsey telah menandatangani pra-kontrak untuk menyertai Juventus pada akhir musim ini.

Pemain Wales itu akan menamatkan karier panjangnya bersama Arsenal selepas bersetuju dengan terma perjanjian selama empat tahun dengan laporan bahawa Juventus akan membayarnya sebanyak £400,000 (RM2 juta) seminggu.

Kontrak Ramsey di Stadium Emirates akan tamat pada Jun depan dan dia mengesahkan niatnya untuk berhijrah selepas rundingan mengenai perjanjian baru dengan kelab London itu gagal mencapai kata sepakat.

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai The Gunners daripada Cardiff City 11 tahun lalu dan memenangi Piala FA di bawah bekas pengurus, Arsene Wenger, sebanyak tiga kali. 

Bagaimanapun, pemain tengah itu gagal mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan bimbingan Unai Emery yang mendorongnya angkat kaki meneruskan kariernya di Itali.

Bayern Munich, Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid turut dikaitkan dengannya tetapi Juve telah memenangi perlumbaan untuk mendapatkan tandatangannya.

Bianconeri memantau pasaran Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menandatangani pemain secara percuma buat tahun kedua berturut-turut -- Emre Can menyertai mereka daripada Liverpool menerusi perjanjian serupa pada Jun lalu.

"Seperti yang anda ketahui, saya sudah bersetuju dengan perjanjian pra-kontrak bersama Juventus," siar Ramsey -- yang menjadi pemain Wales ketiga menyertai Juve -- di Instagram.

"Saya ingin berterima kasih secara peribadi kepada semua peminat Arsenal yang begitu setia dan banyak memberi dorongan."




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen