Rodri calon sesuai buat City

Oleh Staff Writer 19 Jun 2019 1303
Rodri calon sesuai buat City
Gaya permainan Pep Guardiola sesuai dengan Rodri jika dia menyempurnakan perpindahan daripada Atletico Madrid ke Manchester City, ujar bekas pemain tengah Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla.

Pemain kebangsaan Sepanyol, Rodri, dijangka menyempurnakan perpindahan bernilai GBP62.5 juta (RM326 juta) ke Stadium Etihad, menamatkan tempoh bekas pemain tengah Villarreal itu di Atletico selepas hanya semusim di Wanda Metropolitano.

Milla, yang menjuarai La Liga dua kali bersama Real dan sekali bersama Barcelona, berkata pemain berusia 22 tahun itu akan mudah menyesuaikan diri bersama City jika perpindahannya berjaya dimeterai.

"Rodri sesuai dengan corak permainan di Manchester City kerana jurulatihnya mengetengahkan gaya permainan Ajax dan Barcelona," kata Milla.

"City memiliki seorang jurulatih yang berpengaruh di Barcelona. Rodri pula memiliki kebolehan yang dimahukan oleh Guardiola."

Guardiola melihat Rodri sebagai pengganti kepada pemain tengah berusia 34 tahun, Fernandinho, yang menawarkan pendekatan yang hampir sama setiap kali turun beraksi.

Pemain West Ham, Declan Rice, dan Tanguy Ndombele (Lyon) turut dikaitkan dengan City tetapi Milla berpandangan Rodri adalah calon yang ideal buat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Kita sedang berbincang mengenai seorang pemain yang pantas membaca permainan.

"Dia turut memahami apa yang harus dilakukan. Seorang pemain yang bijak serta jarang hilang kawalan bola," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen