Saka tidak akan lupakan minggu impian

Oleh Nafis Abdullah 5 Julai 2020 105
Saka tidak akan lupakan minggu impian
Bukayo Saka mengakui ini adalah minggu yang tidak akan dilupakan selepas mengetuai Arsenal menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 di Molineux, awal pagi tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu -- yang menandatangani kontrak panjang pada minggu ini -- memecah kebuntuan dengan gol pertama Liga Perdana Inggeris sebelum Alexandre Lacazette mengesahkan tiga mata.

Gol pembukaan itu merupakan detik indah buatnya selepas mengesahkan tempat dalam perancangan skuad utama kendalian Mikel Arteta.

"Ia menjadi minggu yang akan diingati sepanjang hidup," katanya.

"Ia minggu terbaik bukan sahaja untuk saya tetapi peminat Arsenal. Anda boleh lihat pengurus sedang mempersiapkan pasukan dan kami gembira dengan keputusan yang diraih. Saya boleh meyakini masa depan di sini.

"Saya berumur 18 tahun dan menjadi impian untuk memperkuatkan kelab ini. Saya datang daripada akademi pada musim ini. Saya menghadapi aksi demi aksi, cuba meningkat dan tidak kira di mana pengurus meletakkan saya, saya perlu cuba dan berikan yang terbaik. Saya gembira berada di sini. Ia impian saya."

Aksi awal pagi tadi merupakan kemenangan keempat berturut-turut Arsenal dalam semua kejohanan dan ia membakar semangat untuk slot kelayakan ke Liga Juara-Juara, musim depan.

"Ia sesuatu yang besar," tambah Saka.

"Kami tahu Wolves pasukan bagus dan sukar untuk berada di sini. Kami berjuang untuk setiap masa. Kami gembira dapat mencatat kemenangan. Kami cuma mahu teruskan momentum ini.

"Ia satu perubahan. Saya rasa seperti orang lain, meningkat dengan ketara. Kami bersaing bersama dan sebab itu saya gembira.

"Setiap nama yang dibawa masuk, mereka membantu kami seperti Joe Willock, Lacazette, Ainsley Maitland-Niles, Lucas Torreira. Mereka hadir dan memberika suntikan buat kami. Kami kini lebih bersatu."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen