Sane tekad bangkit daripada isu Piala Dunia, kritikan Kroos

Oleh Staff Writer 11 Oktober 2018 668
Sane tekad bangkit daripada isu Piala Dunia, kritikan Kroos
Leroy Sane melihat penyingkiran daripada skuad Piala Dunia Jerman serta kritikan yang diterima daripada rakan senegara, Toni Kroos, sebagai motivasi terbaik untuk bangkit.

Sane, 22, menikmati kempen cemerlang bersama Manchester City musim lalu sehingga membolehkannya meraih anuegarah Pemain Muda Terbaik Tahunan, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Pada usia muda, dia mengesahkan peranannya selaku kunci utama untuk skuad bimbingan Pep Guardiola itu meraih gelaran juara liga, sekali gus membuatkannya tampak selaku calon wajib dalam skuad Jerman.

Bagaimanapun, persembahan buruk yang sering ditampilkan di peringkat antarabangsa membuatkan pengurus Jerman, Joachim Low, mengetepikan namanya untuk saingan Piala Dunia 2018 di Russia.

Kroos kemudian mempersoalkan disiplin Sane dan berpendapat pemain sayap City itu tidak kisah sama ada Jerman menang atau kalah kerana selepas dia kembali September lalu, bekas bintang Schalke itu mendedahkan dia menggunakan komen tersebut sebagai motivasi untuk bangkit.

"Jika saya beraksi buruk, tidak semestinya saya tidak kisah," kata Sane.

"Saya sentiasa mahukan pasukan untuk menang. Tidak mengapa jika saya tampak berbeza dengan orang lain. Saya juga menghormati kritikan yang menyentuh peribadi dan akan cuba memperbaikinya.

"Saya tiada masalah dengan kritikan. Ia pemangkin untuk saya bangkit.

"Sememangnya saya sedih apabila mendapat tahu tidak disenaraikan untuk Piala Dunia tetapi sejak itu, ia memberi saya motivasi dan seperti dikatakan, saya mahu membuktikan kemampuan.

"Saya sering cuba menikmati tempoh di atas padang dan mempelajari perkara baru apabila beraksi, terutama dalam beberapa bulan terakhir.

"Apabila beraksi, saya mahu membuktikan permainan saya dan saya rasa itu yang saya lakukan kebelakangan ini," katanya lagi.

Sane berada bersama skuad yang melakukan persiapan bagi aksi Liga Negara-Negara UEFA di Belanda dan Perancis pada Sabtu dan Selasa ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen