Scholes manfaat hubungannya di United selepas dilantik pengurus Oldham

Oleh Staff Writer 12 Februari 2019 4351
 Scholes manfaat hubungannya di United selepas dilantik pengurus Oldham
Paul Scholes akan memanfaatkan hubungannya di Manchester United untuk berjaya sebagai pengurus Oldham Athletic.

Legenda United itu, yang menghabiskan seluruh kariernya di Old Trafford, diperkenalkan di Boundary Park semalam sebagai pengurus kepada kelab yang disokongnya pada zaman kanak-kanak. 

Oldham, yang pernah mewarnai Liga Perdana Inggeris (EPL), kini berjuang dalam kancah liga divisyen dua dan Scholes mahu memanfaatkan hubungannya dengan bekas kelab yang pernah menjulang namanya dalam usaha menaikkan reputasi Oldham.

Pemain muda United, Zak Dearnley, sudah dipinjamkan ke Latics dan langkah itu mungkin menjadi isyarat kepada kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua kelab pada masa akan datang.

"Itulah yang saya cuba lakukan," kata bekas pemain England itu ketika ditanya sama ada dia akan mula menghubungi kenalannya.

"Zak baru tiba, dia menjaringkan gol pertamanya Sabtu lalu dan dia membuat perbezaan besar dalam permainan. Saya sangat gembira dengannya.

"Anda perlu mempunyai kenalan apabila berada di tahap ini. Anda perlu mempunyai kenalan di seluruh tempat.

"Saya mempunyai beberapa orang yang boleh dihubungi di pelbagai kelab, bukan setakat Manchester United sahaja.

"Sudah tentu saya sangat rapat dengan Nicky (Butt). Saya juga mesra dengan pihak di Man United dan sekiranya mereka boleh membantu saya dalam beberapa perkara, saya pasti mereka akan menghulurkan bantuan."

Scholes merupakan bekas bintang United terbaru untuk mencuba nasib dalam bidang pengurusan dan dia mendedahkan bahawa pengurus Wales, Ryan Giggs, di samping Neville bersaudara, iaitu Gary dan Phil, telah menawarkan kata-kata galakan terhadapnya. 

"Mereka berharap saya berjaya, mereka hanya mahu saya melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

"Sama seperti tugas yang mereka lakukan -- Phil bersama pasukan wanita England, Ryan pula dengan pasukan kebangsaan manakala Gary ketika dia mengemudi Valencia -- kami saling mahukan rakan-rakan dapat menjalankan tugas dengan baik. 

"Saya memiliki keyakinan -- saya harap begitulah! -- mereka juga mahu saya melakukannya dengan baik di sini."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen