The Reds gembira menang tanpa bolos

Oleh Staff Writer 8 Disember 2019 627
The Reds gembira menang tanpa bolos
BOURNEMOUTH 0 LIVERPOOL 3

Jurgen Klopp menyifatkan catatan pintu gol skuadnya tidak dibolosi buat kali pertama dalam 14 perlawanan ketika Liverpool membenam Bournemouth 3-0 awal pagi tadi sebagai prestasi yang sempurna.


Skuad kendaliannya itu meraih kejayaan memberangsangkan ke atas The Cherries hasil jaringan daripada Alex Oxlade-Chamberlain, Naby Keita dan Mohamed Salah.

Ia merupakan kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang ke-15 buat Liverpool musim ini dan menempatkan mereka dengan kelebihan 11 mata di puncak liga, namun jurang itu boleh dirapatkan kepada lapan sekiranya Leicester City menewaskan Aston Villa malam ini. 

Bagaimanapun, kemenangan pertama tanpa bolos dalam semua pertandingan sejak kejayaan 1-0 ke atas Sheffield United pada 29 September lalu amat menggembirakan pengurus berbangsa Jerman itu. 

"Ini adalah satu prestasi yang profesional, mengawal permainan, menjaringkan gol yang bagus. Ia adalah satu perlawanan yang sempurna," katanya kepada Match of the Day.

"Kami tidak mahu terlalu teruja, jadi kami mahu menguasai Bournemouth.

"Perkataan yang paling kerap digunakan di bilik persalinan pada ketika ini ialah tanpa bolos -- akhirnya kami menghasilkan persembahan yang hebat, ramai pemain beraksi dengan baik. 

"Kami ditanya adakah mungkin untuk kami menikmati semua perlawanan ini. Jawapannya adalah 'ya'.

"Akan ada masanya dalam sesetengah perlawanan, terutama membabitkan aksi berturut-turut, kami akan kurang menyerlah tetapi kami akan segera bangkit. Kemudian meneruskannya dan terus berada di tahap itu."

Satu-satunya berita buruk buat The Reds adalah kecederaan Dejan Lovren yang terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama, namun Klopp optimis kecederaan pemain antarabangsa Croatia itu bukannya masalah yang serius.

"Saya berharap Lovren hanya mengalami kekejangan," kata Klopp. "Kami tidak mahu mengambil apa-apa risiko tetapi selain itu, hari kami hampir sempurna.

"Kami hanya mempunyai tempoh tiga hari untuk membuat persiapan menentang Salzburg bagi menentukan nasib kami ( dalam Liga Juara-Juara). Ini adalah perlawanan getir yang berikutnya buat kami."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen