Usaha berganda Ozil dalam latihan tarik perhatian Emery 

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2019 2560
Usaha berganda Ozil dalam latihan tarik perhatian Emery 
Pengurus Arsenal, Unai Emery, gembira melihat Mesut Ozil telah menggandakan usahanya dalam sesi latihan tatkala pemain tengah itu berazam untuk terus kekal di Stadium Emirates.

Ozil hanya dua kali beraksi dalam semua pertandingan musim ini, namun dalam satu temu bual dengan The Athletic semalam, dia menegaskan tidak akan meninggalkan Arsenal sebelum kontraknya berakhir pada tahun 2021.

Emery juga terbuka untuk menawarkan peluang lain kepadanya sambil mendedahkan faktor aksinya begitu terhadnya pada musim ini menjelang kunjungan ke Sheffield United bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Selasa ini. 

Ia termasuk insiden percubaan rompakan bersenjata di London yang menyasarkan Ozil dan rakan sepasukan, Sead Kolasinac.

Emery sebelum ini mencadangkan Ozil tidak berlatih dengan cukup gigih untuk menjamin tempatnya beraksi dengan lebih kerap tetapi dia gembira dengan respons baru pemain tersebut. 

"Mesut memulakan kempen dengan kesulitan," kata Emery dalam sidang akhbar semalam. "Dalam pra-musim, dia berlatih dengan baik dan diturunkan. 

"Tetapi masalahnya yang turut membabitkan Sead menyekat perkembangannya dan selepas insiden berkenaan, dia jatuh sakit selama seminggu. Dia terlepas banyak sesi latihan dan kecergasannya terjejas. 

"Dalam dua atau tiga minggu terakhir, latihannya bertambah baik. Saya tidak akan menutup peluangnya untuk beraksi jika dia dalam keadaan baik. Sekiranya dia sudah bersedia, jika dia boleh diturunkan dan berlatih, menunjukkan perasaan yang bagus dalam latihan setiap hari, maka dia boleh beraksi. 

"Saya bercadang untuk menggunakan setiap pemain yang ada dan dia mampu membantu kami. Dia mempunyai kemahiran dan kualiti yang sangat diperlukan dalam perlawanan seterusnya.

"Saya gembira tentang bagaimana dia membaiki keadaan dan cara dia berlatih setiap hari. Dia merupakan salah seorang pilihan. 

"Sebelum ini, mungkin tahap fizikalnya, mungkin atas sebab rentak permainan lain dan bergantung kepada sesebuah perlawanan, ada pemain lain yang lebih menjadi pilihan. Buat masa ini, saya berasa lebih baik dengannya."

Kieran Tierney bersedia untuk memulakan permainan di Bramall Lane sementara Alexandre Lacazette turut kembali menjalani latihan penuh dan pengurus berbangsa Sepanyol itu tidak menolak sebarang kemungkinan untuk mengetengahkan penyerang Perancis itu dalam kesebelasan utama. 

"Dalam sesi pertama dengan kami hari ini, dia berasa sihat," kata Emery merujuk kepada kecergasan Lacazette.

"Ia bergantung tentang bagaimana keadaannya pada hari-hari akan datang, sama ada dia akan beraksi pada Isnin ini (awal pagi Selasa) tetapi ia tampak positif, saya tidak pasti adakah dia akan bermain 90 minit atau bermula di bangku simpanan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen