Wan-Bissaka hargai Hodgson selepas sah sertai United

Oleh Staff Writer 30 Jun 2019 3463
Wan-Bissaka hargai Hodgson selepas sah sertai United
Aaron Wan-Bissaka mengucapkan terima kasih kepada pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya selepas melengkapkan perpindahan bernilai GBP50 juta (RM262 juta) ke Manchester United.

United mengesahkan kehadiran pemain berusia 21 tahun itu semalam selepas melalui proses perbincangan yang panjang bersama Palace.

Wan-Bissaka melakukan penampilan pertama buat The Eagles ketika berdepan Tottenham Hotspur pada Februari tahun lalu dan beraksi dalam enam perlawanan bagi bulan terakhir kempen 2017-18.

Hodgson melihat pemain skuad B-21 England itu layak untuk menjadi pilihan utama bek kanan bagi keseluruhan musim 2018-19 dan ternyata percaturan itu tidak mengecewakan selepas Wan-Bissaka mengesahkan status sebagai salah seorang pertahanan paling berpotensi dalam Liga Perdana Inggeris.

Susulan perpindahannya ke Old Trafford, pemain itu memuji Hodgson kerana memberikannya peluang dalam skuad senior.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan skuad muda dan senior di atas bantuan buat saya untuk berkembang menjadi pemain hari ini," katanya.

"Paling penting, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Hodgson kerana memberi saya peluang yang diimpikan, iaitu beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

"Kepercayaan dan keyakinannya membolehkan saya berkembang ke tahap seterusnya."

Pengerusi Palace, Steve Parish, turut memuji Wan-Bissaka, dengan memberitahu laman web kelab: "Dia seorang pemain muda yang hebat dan kami menikmati sepanjang dia bersama kelab sejak 10 tahun lalu.

"Dia menjadi contoh terbaik yang berkisar dengan London selatan dan saya mengucapkan selamat maju jaya buatnya bersama United dan England."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen