Xhaka belum mahu kembali beraksi, kata Emery

Oleh Staff Writer 9 November 2019 445
Xhaka belum mahu kembali beraksi, kata Emery
Granit Xhaka berkata dia belum bersedia untuk kembali mewakili Arsenal menjelang kunjungan ke Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris awal pagi esok, demikian disahkan pengurus The Gunners, Unai Emery.

Pemain tengah itu tidak pernah mewakili Arsenal sejak dilucutkan tugas kapten gara-gara ketegangannya dengan penyokong sendiri ketika terikat 2-2 dengan Crystal Palace, 27 Oktober lalu.

Emery berkata Xhaka tidak berada dalam keadaan minda yang tepat untuk diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun memberikan komitmen penuh dalam sesi latihan sepanjang minggu ini.

"Belum lagi," katanya sebagai menjawab soalan wartawan sama ada Xhaka akan kembali ke dalam skuad utamanya.

"Saya sudah bercakap dengannya Selasa lalu mengenai bagaimana perasaannya ketika ini dan bagaimanakah keadaan mindanya.

"Dia semakin baik, dia berlatih dengan baik.

"Tetapi dia berkata kepada saya bahawa dia tidak berasa cukup baik untuk kembali beraksi. Kami akan menunggunya," katanya.

Pierre-Emerick Aubameyang dilantik sebagai kapten baru pasukan itu dan Emery yakin penyerang itu mampu melaksanakan tanggungjawabnya.

"Saya masih ingat bagaimana kami melakukan proses itu kerana tahun lalu, kapten pasukan kami adalah Laurent Koscielny, Petr Cech, Aaron Ramsey dan Nacho Monreal.

"Mereka meninggalkan pasukan dan pada akhirnya, Koscielny juga.

"Pada ketika itu, saya memilih dan menggunakan perwatakan pemain untuk mencari kapten.

"Saya memilih Granit Xhaka kerana dia mempunyai kualiti untuk mengambil tanggungjawab itu.

"Selepas isu (di Palace) itu, saya berasakan adalah lebih baik untuk dia tidak menjadi kapten.

"Pilihan seterusnya adalah Aubameyang, yang kedua adalah (Hector) Bellerin, ketiga (Alexandre) Lacazette dan yang keempat ialah Mesut Ozil.

"Aubameyang adalah pilihan pertama kerana dia memiliki pengalaman dan dihormati dalam bilik persalinan.

"Dia merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana tahun lalu dan saya juga sedar dia memerlukan masa untuk mengambil tanggungjawab itu 100 peratus.

"Tetapi kami akan menyokongnya.

"Setiap pemain, kami akan menyokong keempat-keempat kapten itu, dan kami akan menyokongnya sebagai kapten pertama kerana dia juga melakukan langkah tambahan untuk mendapatkan tanggungjawab itu.

"Sebagai contoh, Sokratis (Papastathopoulos) berkata setiap orang boleh mengambil tanggungjawab sebagai kapten.

"Kami mahu menjadi satu keluarga yang kuat di sini dan saya tahu, buat penyokong kami, amat penting untuk melihat siapakah wajah pertama, di depan, dengan tanggangjawab kapten.

"Saya memilih untuk memberikannya kepada Auba dan kami semua bersetuju dan saya memberitahu anda bahawa dia memerlukan masa untuk mengambil tanggungjawab itu dengan keyakinan.

"Tetapi kami perlu memberikannya keyakinan itu, saya memberikannya keyakinan itu.

"Dia memiliki kualiti dan nilai untuk menjalankan tanggungjawab itu dengan sempurna," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen