Xhaka dilucutkan jawatan ketua pasukan Arsenal

Oleh Staff Writer 6 November 2019 509
Xhaka dilucutkan jawatan ketua pasukan Arsenal
Granit Xhaka telah dilucutkan jawatan selaku ketua pasukan Arsenal susulan konfrontasi kemarahan yang ditunjukkan terhadap peminat The Gunners.

Pemain tengah Switzerland, Xhaka, memberi reaksi sewaktu dibawa keluar ketika menentang Crystal Palace, bulan lalu, apabila dilihat menjerit ke arah peminat sebelum menyindir dengan menepuk tangan.

Dia kemudian menanggalkan jersinya sewaktu meninggalkan padang dan terus menuju ke terowong pemain.

Pemain berusia 27 tahun itu -- yang tidak beraksi buat Arsenal sejak itu dan tidak berada dalam senarai skuad menjelang aksi Liga Europa menentang Vitoria SC, malam ini -- telah dinamakan selaku kapten pasukan September lalu hasil undian pemain.

Bagaimanapun, pengendali The Gunners, Unai Emery, mengesahkan Xhaka bukan lagi kapten Arsenal dan penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang, akan menyarung lilitan ketua pasukan itu.

"Saya telah bercakap dengan Xhaka dan dia bukan lagi salah seorang kapten dalam kumpulan ini," kata Emery ketika sidang media menjelang aksi malam ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen