Aksi Perlis-JDT II diubah ke Stadium Pasir Gudang

Oleh Bernama 12 Februari 2019 3892
Aksi Perlis-JDT II diubah ke Stadium Pasir Gudang
Perlawanan Liga Perdana di antara Perlis dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), Kangar, Jumaat ini ditukar ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie yang mengesahkan perkara itu berkata surat penukaran venue itu yang dihantar oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) diterima hari ini.

Perlawanan itu terpaksa diadakan di MPPG kerana lampu limpah di STSP tidak memenuhi piawaian untuk perlawanan pada sebelah malam.

“Saya merayu kerajaan Perlis, terutama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, yang pernah berjanji untuk menaik taraf lampu limpah stadium supaya segara melaksanakannya,” kata Ahmad Amizal kepada Bernama semasa dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Skuad Singa Utara yang mengharungi dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini kecundang 1-2 kepada UKM FC tetapi kemudian bangkit menewaskan UiTM FC 3-0.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen