Fazli akui ambil risiko ikat Piya

Oleh Farizal Yusoff 19 Mac 2019 16015
Fazli akui ambil risiko ikat Piya
Seperti dijangka, Kelantan kembali menagih aura bekas kaptennya, Mohd Badhri Radzi, atau Piya bagi memastikan The Red Warriors (TRW) kembali menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Fazli Mohammad, mengakui mengambil risiko besar apabila membuat keputusan untuk mendapatkan semula pemain yang pernah memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 itu.   

“Suka atau tidak, itu tanggungjawab saya kerana ada peminat yang tak suka, ada yang suka dan ini lumrah dalam bola sepak. Saya ambil  risiko demi kebaikan pasukan. 

“Walaupun Piya sudah berusia (37 tahun) tetapi umur hanyalah sekadar angka. Dia masih mampu bermain untuk Kelantan. Insya-Allah, dia akan kembali mencapai tahap kecergasan tertinggi sebelum aksi liga bersambung menentang Terengganu FC II, hujung bulan ini, ” katanya. 

Fazli juga mengakui kegagalan barisan tengah TRW beraksi cemerlang dalam lima perlawanan awal Liga Perdana menyebabkan dia berusaha untuk mencari seorang pemain yang berpengalaman, dihormati dan mampu memimpin pasukan dalam apa jua keadaan.

"Dalam lima perlawanan liga, saya dapati jentera serangan gagal menjaringkan gol disebabkan kegagalan jentera tengah berfungsi. Kelantan memerlukan seorang pemain berpengalaman yang boleh mengetuai posisi tengah dengan berkesan.

“Kehadiran Piya tepat pada masanya. Dia bukan sekadar mampu membimbing pemain muda tetapi dengan pengalaman luas yang dimiliki, sasaran kita ke Liga Super boleh dicapai," ujarnya.

Untuk rekod, bekas kapten Kelantan itu menamatkan spekulasi berhubung masa depannya apabila menandatangani kontrak beraksi bersama TRW di hadapan Pengarah Media dan Perhubungan Awam KRW Sdn Bhd, Edi Shah, di Kota Bharu, malam tadi.

Kredit Foto: KRW Official

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen