Giliran naib presiden KAFA letak jawatan 

Oleh Bernama 2 Julai 2020 1282
Giliran naib presiden KAFA letak jawatan 
Nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila seorang demi seorang daripada pimpinan persatuan meninggalkan badan induk bola sepak negeri itu.

Kali ini giliran Naib Presiden, Datuk Mohd Rowi Dollah, melepaskan jawatannya berkuat kuasa semalam selepas presiden dan timbalannya direhatkan buat sementara waktu daripada menguruskan persatuan yang tenat dengan pelbagai isu kewangan itu.

Beliau berkata surat peletakan jawatan itu dihantar semalam bagi menamatkan khidmatnya daripada kepimpinan KAFA untuk sesi 2019 hingga 2023.

"Setelah meneliti keadaan semasa terutama daripada segi kekangan masa sebagai usahawan, saya tidak dapat memberikan komitmen kepada pengurusan KAFA.


 
Posted by Kelantan FA on Saturday, March 14, 2020


"Dengan  faktor ini saya melihat diri sebagai  naib presiden, saya tidak dapat membantu KAFA dalam mendapatkan penajaan kewangan bagi menguruskan persatuan itu dan pasukan The Red Warriors (TRW)," katanya kepada Bernama sambil mengesahkan surat peletakan jawatannya yang tular sejak semalam.

Mohd Rowi berkata keputusan itu dilakukan kerana namanya disenarai hitam oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) disebabkan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain serta tindakan mahkamah oleh Prestige Sport Sdn. Bhd. pada 2018.

"Hal ini telah mengganggu dan menjejaskan urusan perniagaan saya terutama urusan melibatkan sektor kewangan. 

"Terima kasih diucapkan kepada semua kepimpinan KAFA atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dan saya harap pengurusan KAFA dapat meneruskan kesinambungan untuk membangunkan bola sepak Kelantan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Mohd Rowi dan memaklumkan bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat dalam masa terdekat.

Pada 28 Jun lepas, Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah, memutuskan untuk  'berehat' sementara waktu daripada mengetuai pentadbiran persatuan berkenaan.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen