Hatrik Casagrande lebur hajat UiTM FC

Oleh Staff Writer 19 Jun 2019 5200
Hatrik Casagrande lebur hajat UiTM FC
UITM FC 3 PULAU PINANG 3

Hatrik daripada Anselmo Casagrande, termasuk satu jaringan dalam waktu kecederaan, membolehkan Pulau Pinang menafikan hajat UiTM FC untuk meraih kemenangan apabila mencatat keputusan seri 3-3 dalam aksi Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi tatkala pertemuan itu dicemari dengan dua layangan kad merah.


Meskipun meraih dua gol daripada Zarko Korac dan satu jaringan menerusi Amer Azahar, UiTM kendalian Ismail Zakaria itu gagal mengekalkan kelebihan apabila Casagrande menyamakan kedudukan pada minit ke-90.

Beraksi di laman sendiri, UiTM terlebih dahulu membuka tirai jaringan ketika permainan berusia 12 minit setelah anak buah Ismail itu menerima sepakan penalti dan penyerang berusia 32 tahun itu tenang memperdayakan penjaga gol pelawat, Zamir Selamat.

Ketinggalan satu gol, skuad Pulau Mutiara meningkatkan serangan dan asakan bertali arus akhirnya membuahkan hasil menerusi Casagrande pada minit ke-34, namun kedudukan hanya terikat 1-1 selama sembilan minit apabila Amer Azahar kembali meletakkan UiTM di depan sebelum rehat.

Pelawat -- yang kini dikendalikan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid -- hanya memerlukan dua minit selepas permainan bersambung untuk menjadikan kedudukan 2-2, sekali lagi menerusi Casagrande yang bijak menggunakan kesempatan daripada keadaan kucar-kacir di depan gawang tuan rumah.

Namun, kapten UiTM FC, Korac, jelas menjadi duri dalam daging buat pelawat apabila berada dalam posisi terbaik untuk menyambut hantaran lintang Park Yong-Jun dan menanduk bola masuk menewaskan Zamir pada minit ke-59 tatkala tuan rumah beraksi dengan 10 pemain setelah Amer Azahar dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Tindakan pertahanan yang dipinjamkan daripada Melaka, Wan Syukri Wan Ahmad, menyiku Korac pada minit ke-84 membawa padah apabila diperintahkan keluar padang dan ketika perlawanan seakan-akan berakhir memihak tuan rumah, Casagrande muncul wira Pulau Pinang apabila melengkapkan hatrik menerusi tandukan dalam waktu kecederaan, selepas menyambut bola sepakan sudut penggempur import dari Argentina, Sergio Aguero.

Kredit foto: Facebook FA Penang

Keputusan lain:

Liga Super
JDT 3-2 SELANGOR
KUALA LUMPUR 0-1 MELAKA 

Liga Perdana
PDRM 1-2 SABAH
SARAWAK 1-3 UKM FC

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen