Ismail kekal pendirian suarakan kelemahan pengadil 

Oleh Staff Writer 9 Jun 2019 1663
Ismail kekal pendirian suarakan kelemahan pengadil 
Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, kekal dengan pendirian bahawa perlu ada perubahan melibatkan pengadil jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu imej pengadilan terus tercalar.

Teguran pengendali itu ditujukan secara umum, bukan hanya disebabkan isu pengadil yang membayangi aksi di antara UiTM dan Selangor United, 24 Jun lalu. 

Bahkan, masalah itu berlarutan sejak awal  musim lagi dan sehingga imej pengadilan FAM semakin tercalar.

Baginya, FAM perlu melakukan sesuatu supaya ia tidak menjadi isu rutin saban minggu dan berterusan mempertahankan Jawatankuasa Pengadil.

"Ada kekasaran yang tidak dikendalikan dengan baik oleh pengadil. 

"Apabila ia dibiarkan berlarutan, lebih banyak kekasaran berlaku. 

"Selain itu, ada kad merah yang sepatutnya dilayangkan tidak berlaku dan apabila pengadil gagal mengawal perlawanan, permainan menjadi tegang, permainan bola sepak menjadi pergaduhan di atas padang," jelasnya dengan UiTM bakal berkunjung ke Kelantan, Jumaat ini. 

Tambah Ismail, tindakan memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan media, tidak akan mengubah keadaan melainkan ada tindak balas daripada badan induk itu ke atas pengadil yang ditugaskan.

Faktor pengadil baru juga memainkan peranan apabila mereka kekurangan pengalaman yang menjadikan mutu pengadilan bola sepak musim ini hambar.

"Ramai pengadil musim ini yang saya tidak pernah lihat kelibat mereka dan mereka baru mengadili beberapa perlawanan.

"Pengadil dari luar Kuala Lumpur dilihat tidak mempunyai latihan yang mencukupi kerana tiada perlawanan di tempat mereka," ujarnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen