Jelius: Pemain perlu kekalkan momentum

Oleh Staff Writer 12 Julai 2019 863
Jelius: Pemain perlu kekalkan momentum
Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, mahu anak buahnya mengekalkan fokus dan rentak cemerlang menjelang pertemuan dengan Kelantan di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok walaupun sudah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Skuad Tambadau itu mencipta sejarah apabila menamatkan penantian selama 23 tahun tatkala kali terakhir mereka menjulang trofi Liga Perdana adalah pada tahun 1996.

Bagaimanapun, Jelius tidak mahu anak buahnya berpuas hati sambil menegaskan mereka perlu menghadiahkan kemenangan buat ribuan penyokong yang pasti akan hadir untuk menyaksikan mereka menjulang trofi selepas penantian yang lama.

"Kami akan bermain macam biasa, sama seperti ketika kami menghadapi lawan lain sebelum ini. Kejayaan kami bukan sesuatu yang kebetulan, jadi aksi esok adalah perlawanan yang perlu kami hadapi dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Dalam masa sama, pengendali itu menegaskan dia tetap akan menurunkan barisan terbaik tetapi tetap menitikberatkan aspek kecergasan anak buahnya.

"Kami akan fikirkan kerana banyak perkara perlu dilihat daripada segi kecederaan dan penggantungan pemain. Sesiapa yang diturunkan akan dipastikan cukup bersedia dan bebas daripada sebarang masalah kecederaan atau penggantungan. 

"Kami tidak mahu mengambil risiko. Jika ada kemungkinan untuk seseorang pemain itu menerima layangan kad seterusnya, kami akan beri laluan kepada pemain lain. Apa yang pasti, kami akan turunkan barisan terbaik esok," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen