KRW janji selesai semua hutang KAFA tahun ini

Oleh Farizal Yusoff 12 Februari 2019 1095
KRW janji selesai semua hutang KAFA tahun ini
Selepas berjaya membayar gaji pemain Kelantan mengikut jadual, Syarikat Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd (KRW) berjanji akan melangsaikan semua tunggakan hutang yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Ketua Pegawai Eksekutif  KRW, Fazli Mohammad, berkata kesemua hutang yang dianggarkan  mencecah jutaan ringgit itu akan dilunaskan secara berperingkat sehingga selesai.

"Saya bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak. Tetapi, harus untuk saya beritahu anda (media), hutang ini dari tahun 2014 lagi (kecuali 2017) sehingga 2018.

"Macam saya sebut isu ini di Kuala Lumpur, hendak cuci segala-galanya. Tetapi, apabila bermain dengan angka tiga atau empat juta, kita tak boleh selesai sekali gus. Kami (KRW) akan lakukan secara berperingkat.

"Insya-Allah, kami akan selesaikan semua hutang KAFA dalam musim ini," katanya.

Ditanya mengenai kesanggupan KRW untuk membantu KAFA menyelesaikan segala hutang lapuk, Fazli yang mengaku dirinya peminat tegar bola sepak negara ingin mencontohi langkah profesional kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam menguruskan kelab secara profesional.

"Kita harus menyahut apa yang dilakukan JDT dalam menguruskan persatuan, pemain dan kebajikan secara sistematik dan profesional.

"Soal keberanian (menyelesaikan hutang) bukan isu utama kerana seluruh Malaysia mengakui penyokong Kelantan adalah antara penyokong terbesar di negara ini.

"Tanpa penyokong, tanpa penonton...MU (Manchester United) pun boleh tumbang. Bagi saya, tidak salah KRW ambil tanggungjawab dalam membantu dan menaikkan mutu bola sepak Malaysia," katanya.

Fazli juga mengesahkan KRW telah melunaskan tunggakan hutang membabitkan barisan pemain import Kelantan sebelum ini.

"Alhamdulillah, kita berjaya selesaikan hutang pemain import yang lama.

"Kita juga menghubungi bekas pemain yang masih mempunyai hutang untuk berbincang mengenai isu ini," ujarnya.


-

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen