Luqman Hakim tidak beraksi menentang Terengganu II

Oleh Staff Writer 27 Februari 2020 11930
Luqman Hakim tidak beraksi menentang Terengganu II
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, menjelaskan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsuddin, tidak akan menjadi taruhan Selangor II menjelang perlawanan pertama Liga Perdana meskipun penerbangan ke Eropah ditangguh.

Sebelum ini, Luqman Hakim dilaporkan bakal berkelana ke Eropah selepas kelab divisyen utama Liga Belgium, K.V. Kortrijk menandatangani pemain itu. 

Pemain berusia 18 tahun itu sepatutnya bertolak ke Belgium hari ini tetapi sekali lagi tertunda ekoran penularan wabak Coronavirus di Eropah. 

Bagaimanapun, Johan menjelaskan Luqman Hakim tidak akan membarisi skuad Gergasi Merah ekoran kecederaan otot dihadapi menjelang perlawanan pertama menentang Terengganu II, Ahad ini.

"Luqman Hakim masih di kampung halaman kerana pada asalnya, penerbangannya dijadualkan hari ini. Jadi, kerana Coronavirus, dinasihatkan dia tidak ke sana. Buat masa ini, dia akan laporkan diri dalam masa terdekat dan menjalani proses pemulihan akibat kecederaan," ujar Johan.

Buat masa ini, penyerang itu masih berlatih bersama skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu bagi meningkatkan tahap kecergasannya sebelum berkelana ke Eropah, bulan depan.

"Perlu ada masa untuk pulihkan kecergasannya. Ia memerlukan beberapa minggu."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen