Perak II ikrar kekal dalam Liga Perdana 

Oleh Bernama 2 Julai 2020 87
Perak II ikrar kekal dalam Liga Perdana 
Perak II perlu memburu kemenangan dalam tiga perlawanan selepas ini bagi memastikan pasukan berkenaan kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, menegaskan bahawa pasukannya tidak boleh kalah memandangkan mereka kini di kedudukan tercorot dalam carta Liga Perdana daripada 12 pasukan dengan hanya meraih satu mata selepas empat perlawanan.

"Fokus kami adalah memperbaiki kedudukan dalam Liga Premier memandangkan saingan Piala Cabaran dibatalkan kerana kekangan masa, dan saya difahamkan kami tidak layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia kerana kami adalah pasukan 'feeder’ (pasukan simpanan)," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar menyambut baik sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) memberi lampu hijau kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk menjalani latihan secara sentuhan, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk merencana semula strategi permainan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan beliau akan membawa cadangan mengenai latihan penuh secara sentuhan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Khamis depan. 


 

Sesi latihan kecergasan bagi Pasukan Perak II di Kompleks Bolasepak Perak, Chepor siang tadi. #KejorrYobKejorr #KejorrYobSkorr

Posted by Perak TBG on Tuesday, June 30, 2020


"Sekiranya latihan penuh secara sentuhan dibenarkan, ia memberi lebih banyak masa kepada saya untuk memperbaiki kelemahan terutamanya di bahagian pertahanan selain menilai semula strategi perlawanan.

"Ketika ini, kami hanya diberi masa selama 45 minit untuk mengadakan latihan tanpa sentuhan dan ia menyukarkan saya untuk menilai prestasi setiap pemain,” kata Abu Bakar.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Mei lalu mengumumkan perubahan format Liga-M 2020 setelah mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pentadbir Liga-M itu merancang meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Premier secara separuh liga bermula 1 Sept dan dijadual berakhir pada 27 Sept ini.

Saingan Piala Malaysia pula akan berlangsung dari 17 Okt hingga 7 Nov depan manakala kempen Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa dibatalkan susulan kekangan masa.

-- BERNAMA

 

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen