Peter mahu Sabah kekal rentak cemerlang

Oleh Staff Writer 10 Julai 2019 831
Peter mahu Sabah kekal rentak cemerlang
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berharap momentum cemerlang anak buah Jelius Ating itu dapat diteruskan dalam kempen Piala Malaysia dengan sasaran layak ke separuh akhir bagi mengulangi pencapaian musim lalu.

Skuad Tambadau itu mencetus sensasi apabila meraih kejayaan berganda, mara ke Liga Super musim depan dengan menjuarai saingan Liga Perdana musim ini.

Mereka mencipta kejayaan manis itu dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan terakhir ketika saingan berbaki dua perlawanan, semalam.

Bagaikan amaran tentang kepulangan mereka dalam peta bola sepak Malaysia, skuad dari Kepulauan Borneo itu tampak mendambakan kejayaan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

"Pada awalnya, ia bukanlah dalam perancangan pasukan, namun rezeki memihak kepada pasukan (kami) dan pada hari ini, kami ditabalkan sebagai juara.

"Untuk Piala Malaysia, kami sudah pasti menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir dan kalau ada rezeki, kami akan melakukan yang terbaik," katanya.

Musim lalu, Sabah sekadar menduduki tangga keenam Liga Perdana, namun mereka melakar kejutan dalam saingan Piala Malaysia.

Ia menerusi kemaraan ke separuh akhir sebelum tewas kepada pasukan juara, Perak, dengan agregat 7-2.

"Ia melibatkan ganjaran. Kami sebenarnya telah membuat perancangan dan mengenal pasti jumlah imbuhan atau ganjaran buat semua pemain yang terlibat," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen