SAFA hargai sumbangan bekas pemain kebangsaan 

Oleh Staff Writer 15 Julai 2019 5338
 SAFA hargai sumbangan bekas pemain kebangsaan 
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, menganggap barisan kejurulatihan yang dibarisi bekas pemain kebangsaan menjadi kunci utama kejayaan skuad Tambadau meraih kejuaraan Liga Perdana 2019. 

Bekas pemain kebangsaan era 90-an, Jelius Ating, yang dibantu oleh Burhan Ajui berjaya menamatkan badi 23 tahun tanpa trofi selepas kali terakhir Sabah mencipta kejuaraan dalam Piala FA 1996.

Peter berpuas hati dengan usaha yang ditonjolkan oleh barisan jurulatih serta pemain yang bersungguh-sungguh untuk mencapai misi menempah slot ke Liga Super musim depan. 

"Bagi saya, tiada masalah untuk kami mengekalkan tonggak utama dan kami akan pertimbangkan untuk membawa masuk sehingga empat  pemain utama dari luar," ujarnya. 

Menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SAFA esok, beliau tidak mengharapkan balasan dan menyerahkan kepada ahli gabungan untuk memilih peneraju baru berikutan kejayaan Liga Perdana sudah cukup membanggakannya. 

"Sekiranya ada cadangan untuk membantah keputusan terdahulu, terpulang kepada ahli gabungan dan majlis tertinggi (SAFA).

"Bagi saya, kedudukan presiden bukanlah penting tetapi orang dipertanggungjawabkan itu mestilah memberikan komitmen yang tinggi," katanya lagi. 

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, masih merahsiakan kejutan yang bakal diterima oleh skuad Tambadau selepas meraih gelaran juara. Bagaimanapun, beliau memberi bayangan ganjaran itu mampu menjadi rangsangan buat mereka meneruskan kemaraan. 

"Saya sudah serahkan kepada Peter (soal ganjaran) dan sedikit-sebanyak kami telah berbincang.

"Sudah tentu saya perlu teliti secara mendalam beberapa perkara dan kami akan berikan ganjaran sebagai galakan," ujar beliau. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen