Skuad Rusa terlepas peluang ke Liga Super 

Oleh Bernama 14 Julai 2019 19245
 Skuad Rusa terlepas peluang ke Liga Super 
Kekalahan Negeri Sembilan dalam perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sendiri malam tadi menjejaskan peluang skuad itu untuk mara ke saingan Liga Super musim depan.

Berbaki satu lagi perlawanan menentang UiTM, Sabtu depan, skuad kendalian ketua jurulatih, Mohd Zan Mat Aris, itu mengimpikan untuk mencipta kemenangan dan sekurang-kurangnya bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Perdana.

Pada ketika ini, skuad Rusa menduduki tangga kelima liga dengan 28 mata manakala PDRM melonjak ke tangga ketiga daripada tempat kelima dengan 30 mata.

Mengulas aksi perlawanan malam tadi, Mohd Zan mengakui terkilan kerana gagal mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selain terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan pemain yang memberi peluang kepada PDRM merampas kedudukan dalam liga tersebut.

"Kami akui, daripada segi permainan terdapat kesilapan yang kami lakukan, terutama pada saat-saat akhir perlawanan, menyebabkan pihak lawan mudah membolosi gol kami. 

"Iini membuatkan saya agak terkilan kerana menyebabkan kami kehilangan tiga mata berharga untuk mara ke Liga Super," katanya kepada Bernama selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu. 

Dalam perlawanan itu, skuad Hobin Jang Hobin itu tunduk kepada PDRM 2-3. 

Mohd Zan berkata walaupun kemenangan tidak menyebelahi pasukannya, namun beliau memuji corak permainan yang ditampilkan setiap pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung. 

"Walau apapun, kami tetap ada baki perlawanan terakhir menentang UiTM, saya harap kami akan cipta kemenangan dalam memperbaiki kedudukan kami," katanya.

-- BERNAMA



 

Tentang Penulis

Bernama

Komen