Berita baik jika liga disambung semula - Kurniawan

Oleh Willie Jude 27 Mei 2020 37
Berita baik jika liga disambung semula - Kurniawan
Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata, ia menjadi satu berita baik sekiranya Liga Super disambung semula selepas tertangguh akibat penularan wabak Covid-19.

"Tentu menjadi berita baik kalau liga dilanjutkan lagi kerana memang ini yang kita harapkan.

"Program latihan yang mana buat masa ini dilakukan pemain di rumah masing-masing akan bersambung semula minggu depan, kita mahu mereka benar-benar cergas sekiranya saingan liga disambung semula September nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada September ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada pengesahan atau pengumuman rasmi dibuat susulan rancangan MFL itu.

Sementara itu, Kurniawan turut berharap agar permohonan mereka untuk menggunakan padang untuk menjalani latihan akan diluluskan cepat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan mematuhi segala keputusan yang dibuat kerajaan demi kebaikan bersama.

"Kita akan tetap ikut arahan daripada kerajaan kerana kesihatan adalah nombor satu dan penting untuk para pemain," katanya lagi.

Dalam pada itu, Kurniawan berkata sambutan Aidilfitri beliau pada tahun ini agak berbeza seperti sebelum ini kerana hanya menyambutnya di rumah bersama isteri dan anak-anak.

"Bagaimanapun, perasaan rindu kepada keluarga dan sahabat di Indonesia sedikit terubat dengan sidang video yang kami buat sempena Aidilfitri ini," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen