Durakovic gesa pemain kembali fokus Liga Super

Oleh Azizan Hashim 22 Februari 2019 748
Durakovic gesa pemain kembali fokus Liga Super
Mehmet Durakovic mengajak anak buahnya untuk kembali fokus kepada Liga Super selepas cabaran mereka dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) berakhir Selasa lalu.

Jurulatih itu berharap pemain akan bangkit daripada igauan ngeri tewas 1-5 di tangan Ulsan Hyundai di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan itu untuk mengusahakan kejayaan apabila melayani Felda United di Stadium Perak, malam esok.

"Lupakan kekalahan itu dan kembali ke alam nyata kerana mereka mempunyai tugasan besar dalam kancah domestik pula," kata Durakovic.

Jurulatih itu berkata tiada apa yang hendak dimalukan pemain Perak berikutan kekalahan kepada Ulsan itu.

Malah, Durakovic tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya kerana berjaya memberi tentangan kepada gergasi Liga-K itu, terutama dalam babak pertama.

"Kami berjaya menyaingi mereka dan hanya ketinggalan 0-1, itupun melalui jaringan sendiri.

"Bagaimanapun, Ulsan nyata terlalu handal dan berada dalam kelas tersendiri.

"Saya tidak malu untuk mengakui bahawa kami bukan tandingan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Durakovic yakin banyak yang dipelajari pemain, pegawai dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) daripada penyertaan di peringkat tertinggi itu.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen