FAM tiada kuasa minta pasukan lepaskan pemain

Oleh Bernama 12 Februari 2019 2207
FAM tiada kuasa minta pasukan lepaskan pemain
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai kuasa untuk meminta pasukan dan kelab tempatan bagi melepaskan pemain masing-masing sekiranya dipanggil untuk tugasan antarabangsa bersama skuad senior atau remaja kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata pengurusan pasukan yang lebih arif dalam menentukan perkara berkenaan, namun menegaskan tugas mewakili negara perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh pasukan dan kelab di negara ini.

Beliau yang juga anggota Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke majlis menandatangani perjanjian penajaan bagi musim kedua berturut-turut di antara MFL dan Shopee yang merupakan peneraju platform e-dagang terkemuka rantau ASEAN dan Taiwan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusoff memaklumkan salah faham komunikasi di antara pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan, dan ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, menjadi punca pasukan Liga Perdana itu enggan melepaskan pemain mereka, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, untuk sesi latihan skuad muda negara yang bermula Ahad lalu di Padang Majlis Sukan Negara.

Beliau bagaimanapun menjelaskan badan induk itu sedang menyelesaikan perkara berkenaan dengan pengurusan TFC II.

Kim Swee sebelum ini dilaporkan kecewa dengan TFC II yang tidak memberi sebarang respons berhubung usaha mendapatkan Muhammad Izzan Syahmi untuk menjalani sesi latihan bersama skuad B-22 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan beliau akan mengemukakan beberapa cadangan kepada anggota Lembaga Pengarah MFL untuk memberikan hak keistimewaan kepada pasukan dalam Liga Malaysia sekiranya mereka bersetuju melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa bersama skuad negara.

“Apa keistimewaan itu masih belum dibincangkan lagi dengan anggota Lembaga Pengarah MFL tetapi mungkin kita boleh ketengahkan satu cadangan jika satu pasukan  itu sedia melepaskan pemain, mereka boleh daftar 35 pemain, bukan 30 pemain dalam Liga Malaysia, misalnya, jika itu memberikan kelebihan kepada sesuatu pasukan.

“Kita tidak boleh memaksa tetapi daripada sudut liga, agenda kebangsaan dan juga kejayaan pasukan kebangsaan adalah satu kejayaan penting buat liga. Ini kerana pasukan kebangsaan berjaya, kita pun mendapat sokongan dan minat yang lebih lagi daripada penyokong dan penaja," katanya.

Beberapa pasukan Liga Super, termasuk Felda United, Selangor, Pahang dan Kedah, dilaporkan enggan melepaskan pemain masing-masing ke sesi latihan skuad bawah 22 (B-22) yang akan beraksi dalam Kejohanan B-22 Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) di Kemboja dari 17-26 Februari ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja, 18 Februari ini, diikuti Indonesia (20 Februari) sebelum menamatkan pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian.

Dua pasukan terbaik dari kumpulan A dan B, layak ke separuh akhir 24 Februari ini dan aksi final pula dijadual dua hari berikutnya, dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Olimpik Kebangsaan Kemboja.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen