Hatrik Ifedayo benam Tok Gajah di Shah Alam

Oleh Staff Writer 25 Jun 2019 10428
Hatrik Ifedayo benam Tok Gajah di Shah Alam
SELANGOR 5 PAHANG 2

Selangor bangkit daripada kekalahan 3-2 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT), Rabu lalu apabila mencatat kemenangan bergaya 5-2 ke atas Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Ledakan hatrik daripada penyerang utama, Ifedayo Olusegun, serta satu jaringan oleh Khyril Muhymeen Zambri dan Endrick Dos Santos membolehkan skuad kendalian B. Sathianathan itu kekal di tangga ketiga liga menerusi kutipan 28 mata sambil Pahang pulang hampa meskipun membolosi gawang lawan menerusi R. Kogileswaran dan Mohamadou Sumareh.

Buat Pahang, kekalahan di Shah Alam menyaksikan hasrat untuk menafikan JDT meraih kejuaraan Liga Super keenam berturut-turut lebur sekiranya gergasi Harimau Selatan itu menewaskan Melaka di Stadium Hang Jebat malam esok.

Beraksi di tempat sendiri, Selangor melayan kunjungan skuad Tok Gajah tanpa kelibat tonggak utama seperti K. Sarkunan, Syazwan Zainon dan Taylor Regan akibat penggantungan dan masalah kecederaan sambil Pahang meletakkan pemain naturalisasi, Sumareh, di bangku simpanan.

Namun, biarpun tanpa kelibat Regan mengemudi benteng, ia tidak memberi masalah buat The Red Giants apabila membuka tirai jaringan selepas setengah jam perlawanan menerusi Khyril Muhymeen yang melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan percuma Sandro Da Silva.

Belum sempat pelawat menyusun permainan, Selangor terus mengganas di depan penyokong sendiri, kali ini hasil kebijaksanaan Ifedayo yang melepasi perangkap ofsaid sebelum menafikan halangan dua pertahanan dan melepaskan tendangan kaki kiri menewaskan penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros, pada minit ke-36.

Ketiadaan gandingan Dickson Nwakaeme dan Norshahrul Idlan Talaha ternyata membuatkan Pahang buntu untuk melakukan asakan tatkala bekas penggempur Felda United dan Melaka, Ifedayo, terus menghukum kealpaan anak buah Dollah Salleh menerusi gol kedua peribadi enam minit kemudian.

Setelah mengutip bola lorongan Faiz Nasir, Ifedayo menggelecekkan Remezey sebelum mudah menolak bola masuk menggunakan kaki kanan, memberikan kelebihan selesa buat tuan rumah menuju rehat.

Belum puas dengan tiga jaringan, Selangor hanya memerlukan seminit selepas aksi bersambung untuk terus melebarkan kedudukan.

Kelincahan Ifedayo yang sentiasa memberi masalah buat pertahanan pelawat membolehkannya membuka ruang buat Endrick di depan petak penalti sebelum pemain kelahiran Brazil berusia 24 tahun itu tenang melepaskan rembatan leret, membuatkan gawang Remezey dibolosi buat kali keempat.

Pahang cuba merapatkan jurang pada minit ke-68 apabila Kogileswaran yang menerima hantaran pendek Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim melepaskan tendangan lencong kaki kiri menewaskan Khairul Azhan Khalid dan menjadikan kedudukan 4-1, sebelum pemain gantian, Sumareh, menambah gol kedua sembilan minit kemudian.

Bagaimanapun, Ifedayo memusnahkan kebangkitan yang cuba dipamerkan pelawat menerusi ledakan hatrik ketika permainan berbaki empat minit selepas menyambut bola hantaran pemain gantian, Syahmi Safari, dan tenang menewaskan Remezey bagi mengesahkan kemenangan 5-2 buat anak buah Sathianathan.

Kredit foto: Facebook Pahang FA

Keputusan lain:

Liga Super
FELDA UNITED 2 PERAK 3
PKNP FC 2 PKNS FC 2

Liga Perdana
SELANGOR UNITED 2 PDRM FA 3
JDT II 2 UITM FC 0


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen