Ia amat sukar, kata Nidzam

Oleh Staff Writer 19 Jun 2019 552
Ia amat sukar, kata Nidzam
Ia amat sukar, kata ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, selepas hasrat pasukannya untuk mencuri tiga mata daripada Petaling Jaya City FC tidak kesampaian gara-gara tewas 0-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Apa yang diharapkannya itu tidak berlaku dan dia mengakui kesukaran yang dialami anak buahnya untuk keluar daripada zon penyingkiran ketika mereka semakin terperosok di dasar Liga Super.

Lebih parah lagi, ayam tambatan dari Singapura, Khairul Amri Kamal, sekali lagi mengalami kecederaan yang menuntut proses pemulihan selama dua minggu.

"Ia amat sukar untuk kami bermain baik dalam perlawanan ini.

"Tiga ke empat hari lalu, kami bermain baik ketika menentang PKNS, namun secara tiba-tiba segala-galanya merudum.

"Kami tidak mencipta banyak peluang dan jarang-jarang memberikan ancaman kepada lawan.

"Selepas lawan bermain dengan 10 pemain pada minit ke-60, barulah kami dapat bermain bola sepak, namun hanya mendapatkan satu atau dua peluang," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan, berasa lega walaupun aksi dalam separuh masa kedua terpaksa dihabiskan dengan 10 pemain gara-gara Nasriq Baharom diperintahkan keluar padang.

Kelebihan satu jaringan itu ihsan sentuhan penyudah Safee Sali, bagaimanapun, dipertahankan sehingga wisel penamat.

"Sebelum Eriq keluar, kami menguasai bahagian tengah.

"Selepas dia dikeluarkan (dilayangkan kad merah), saya terpaksa menghantar seorang pemain tengah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkannya.

"Sedikit-sebanyak, ia menganggu kami untuk menguasai bahagian tengah.

"Disebabkan itu, kami terpaksa bertahan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen