JDT hampiri kejuaraan keenam

Oleh Staff Writer 19 Jun 2019 5905
JDT hampiri kejuaraan keenam
JDT 3 SELANGOR 2 

Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin menghampiri kejuaraan Liga Super keenam berturut-turut selepas menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Gol daripada Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez dan Safawi Rasid sudah cukup untuk memastikan skuad Harimau Selatan itu berkelebihan 13 mata di depan pencabar terdekat, Pahang, namun Selangor memberikan reaksi balas menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri dan Sandro Da Silva.

JDT meperoleh jaringan awal apabila kuisan tumit Diogo Luis Santo ke belakang  disudahkan Cabrera dengan separa voli gemilang dari luar kotak penalti pada minit ke-10.

Hanya dua minit diperlukan JDT untuk menggandakan jurang jaringan apabila Velazquez memanfaatkan hantaran terus Cabrera untuk sekali lagi menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

The Red Giants, bagaimanapun, merapatkan kedudukan sebelum tamat babak pertama apabila Khyril Muhymeen tidak mensia-siakan peluang daripada sepakan percuma untuk menewaskan benteng terakhir JDT, Farizal Marlias.

Namun, semangat itu kemudian dipadamkan Safawi pada minit ke-61 dengan bintang skuad kebangsaan itu memanfaatkan kesilapan pertahanan kiri Selangor, K. Prabakaran, sebelum K. Sarkunan pula mendatangkan malang buat skuad kendalian B. Sathianathan itu apabila reaksinya menyepak bola ke arah pengadil, Fairuzi Mat Desa, diakhiri dengan layangan kad merah.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Selangor masih mampu merapatkan jaringan pada penghujung perlawanan selepas Sandro menyudahkan sepakan penalti ekoran tindakan Aidil Zafuan Abdul Radzak menjatuhkan Ifedayo Olusegun.

KEPUTUSAN LAIN: 
KUALA LUMPUR 0 MELAKA 1

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen