KLFA mahu pastikan kebajikan atlet terjamin

Oleh Staff Writer 16 Mac 2019 838
KLFA mahu pastikan kebajikan atlet terjamin
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan memastikan barisan pemain tidak menjadi mangsa keadaan susulan kontrak penaja utama Liga Malaysia (Liga-M), Telekom Malaysia (TM), ditamatkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam dengan mencari pelan B bagi memastikan kewangan pasukan terjamin.

Beberapa pasukan atau kelab Liga-M mungkin terjejas susulan penamatan kontrak penaja terbesar, TM, yang difahamkan berjumlah sekitar RM480 juta bagi tempoh lapan tahun. 

Mahu atau tidak, KLFA perlu bersedia dengan perancangan kedua untuk memastikan kebajikan pemain mereka tidak terjejas sementara menanti MFL mencari penaja baru bagi mengharungi musim 2019.

KLFA antara pasukan yang masih lagi belum mendapat geran tahunan dan mungkin terpaksa menunggu lebih lama ekoran isu penaja rasmi tersebut.

"Bulan lalu, kami dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, bahawa kami akan menerima geran itu pada akhir bulan lalu, namun ia tidak menjadi kenyataan. 

"Bagaimanapun, kami akan tetap mencari jalan lain untuk menampung kewangan KLFA bulan ini. 

"Kami masih ada masa lagi dan Insya-Allah kami akan cari jalan untuk menyelesaikan masalah gaji pemain dan dalam masa yang sama, kami akan memikirkan soal MFL ini," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Husin, pula melahirkan sedikit kegusaran dengan situasi ketika ini sambil menganggap UKM bukanlah sebuah pasukan yang besar dan tetap mengharapkan tiada masalah kewangan yang serius akan melanda dalam masa terdekat ini.

"Saya berharap kami sebagai kelab-kelab kecil tidak terjejas. 

"Walaupun berlaku kelewatan mengenai penyerahan geran MFL, kami yakin masalah penajaan tidak  akan mengganggu perjalanan liga," kata Sulaiman. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen