MFL tidak terburu-buru soal jawatan pengerusi 

Oleh Staff Writer 6 Ogos 2019 719
MFL tidak terburu-buru soal jawatan pengerusi 
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan ahli lembaga pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum membuat sebarang ketetapan mengenai cadangan pemansuhan jawatan pengerusi badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu. 

Ia susulan MFL sering menerima kritikan kononnya pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya perlu tengok dulu taklimat daripada pengerusi. 

"Saya rasa ahli lembaga pengarah juga mempunyai pandangan masing-masing. Kami perlu ikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

"Bagi saya (masa untuk lihat) gambaran sebenarnya terlebih dahulu," katanya yang ditemui ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi menyempurnakan pelancaran laman sesawang baru persatuan itu di Kelana Jaya, hari ini. 

Sebelum ini, MFL menyatakan langkah penstrukturan semula itu bakal memantapkan lagi pentadbiran mereka yang tidak lagi diterajui pengerusi, sebaliknya dikawal sepenuhnya ahli lembaga pengarah.

Bagaimanapun, keputusan untuk meminda perlembagaan itu bergantung kepada persetujuan 24 rakan kongsi MFL, iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga-M, dalam Kongres FAM bulan depan.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen