Pahang seperti kampung saya -- Nwakaeme

Oleh Bernama 19 Januari 2019 3539
Pahang seperti kampung saya -- Nwakaeme
Bekas penyerang import skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme menyifatkan Pahang seperti kampungnya sendiri dan amat mudah untuknya menyesuaikan diri dan diterima kembali pasukan serta peminat bola sepak negeri itu.

Nwakaeme, 33, berkata kepulangannya kali ini adalah untuk memperkuatkan lagi kesebelasan utama Pahang, sekali gus meningkatkan ketajaman jentera serangan skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim ini.

"Semua mahu saya kembali ke sini, perasaan saya sangat gembira dan bersyukur kerana sentiasa diterima dengan baik.

"Untuk pengetahuan anda, tidak semua pasukan begitu dan ada sesetengahnya agak sukar menerima anda kembali," katanya.

Difahamkan, Nwakaeme yang tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin, dibawa terus ke Kuantan sebelum menjalani latihan di bawah kendalian pengendali Pahang, Dollah Salleh, semalam.

Nwakaeme berkata dia tidak beraksi dengan mana-mana pasukan musim lalu dan hanya mewakili kelab Angers SCO di Perancis pada 2017.

"Selepas beraksi di Perancis, saya mengalami kecederaan dan kini kembali pulih selepas tidak bermain tahun lalu.

"Saya yakin dapat kembali meningkatkan prestasi di sini sebelum dipilih untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan Pahang," katanya.

Pemain berasal dari Lagos, Nigeria itu pernah mempamerkan persembahan mantap bersama Pahang dalam dua musim pada 2014 dan 2015.

Antara kejayaan diraihnya ketika bergandingan dengan seorang lagi pemain import Pahang, Matias Conti, ialah membantu pasukan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen