Penambahan slot Asia semarak reputasi Liga-M

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Februari 2020 158
Penambahan slot Asia semarak reputasi Liga-M
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menyambut baik keputusan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memutuskan dua slot automatik ke Piala AFC 2021.

Menurutnya, keputusan itu mampu merancakkan lagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 dalam perebutan peluang beraksi di pentas antarabangsa. 

MFL mengumumkan dua slot automatik untuk beraksi di pentas itu musim depan yang akan diberikan kepada juara Piala FA dan naib juara Liga Super, manakala slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) kekal milik juara liga.

"Pengalaman lalu menyaksikan hanya satu wakil dari Malaysia sahaja yang layak ke peringkat kumpulan tetapi dengan adanya tiga pasukan dalam saingan Asia, ia akan memberikan saingan kompetitif antara pasukan-pasukan Liga-M bagi merebut pengalaman beraksi di peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, di Wisma FAM, hari ini. 

Sementara itu, Datuk Abdul Ghani Hassan, yang akan memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) MFL secara tetap bermula bulan depan, turut gembira dengan keputusan badan induk berkenaan yang mampu meluaskan penyertaan pasukan tempatan ke peringkat Asia. 

"Slot ini memperakui bahawa Liga-M boleh melahirkan pemain-pemain yang mampu bersaing di peringkat Asia," kata Abdul Ghani pula.

Presiden Petaling Jaya (PJ) City, Datuk Seri Subahan Kamal, menganggap agihan pendapatan penajaan sebanyak RM1 juta kepada pasukan Liga Super mampu membantu setiap pasukan untuk mempekasakan barisan masing-masing dalam memburu tempat ke saingan Piala AFC.

"Ini sebagai permulaan dan sebagai pemegang taruh, kami perlu bersabar dan saling bekerjasama dengan MFL.

"Kami terima dengan hati terbuka dan jika ada penambahan pendapatan, kami akan kongsinya bersama," kata Subahan. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen