Perak masih tidak boleh turunkan Leandro

Oleh Azizan Hashim 11 Jun 2019 6088
Perak masih tidak boleh turunkan Leandro
Perak terus tidak akan mendapat khidmat Leandro Dos Santos apabila turun menghadapi PJ City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jumaat depan.

Ini kerana pemain tengah dari Brazil itu terpaksa menjalani baki penggantungan satu perlawanan gara-gara mengutip enam kad kuning setakat ini.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berkata ketiadaan Leandro sudah pasti akan dirasakan kerana pemain itu mempunyai impak besar di bahagian tengah pasukan The Bos Gaurus.

"Dia mempunyai peranan besar di bahagian tengah kami setakat ini.

"Ketiadaannya pasti akan menjejaskan jentera tengah Perak," kata Durakovic.

Jurulatih dari Australia itu mengakui persembahan Perak terjejas ketika menentang Melaka United di Ipoh pada 25 Mei lalu. Perak tumpas 2-3 dalam perlawanan itu.

"Sedikit rombakan akan dilakukan bagi mengimbangi pasukan," katanya.

Durakovic juga sedang menunggu kepulangan Shahrel Fikri Md Fauzi, Shahrul Mohd Saad dan Kenny Pallraj daripada tugasan bersama pasukan kebangsaan.

"Perlawanan ini penting buat Perak. Kami perlu kutip mata penuh bagi meneruskan pendakian dalam carta liga," tambahnya.

Perak menduduki tangga kelapan dengan mengutip 18 mata selepas 15 perlawanan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen