PJ City laung amaran lebih berbisa 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Februari 2020 745
PJ City laung amaran lebih berbisa 
Biarpun hanya mengekalkan lapan muka lama dengan selebihnya pemain baru untuk mengharungi Liga Super 2020, Petaling Jaya (PJ) City menaruh keyakinan tinggi bahawa mereka mampu memecah kelompok lima pasukan terbaik musim ini.

Berdasarkan prestasi lalu, pengendali PJ City, K Devan, percaya pasukannya sudah membuktikan mereka bukan pasukan belasahan dalam saingan elit bola sepak Malaysia itu hasil beberapa keputusan memberangsangkan ketika menentang pasukan atasan liga.

Sasaran lima terbaik dianggap realistik berbekalkan kelompok baru musim ini dan jurulatih itu percaya keseluruhan skuadnya kini lebih ampuh, termasuk barisan pemain simpanan.

Antara yang dikekalkan adalah tonggak penyerang, Safee Sali, serta pertahanan import, Elizeu Batista.

"Saya memberi fokus kepada prestasi yang lebih tekal musim ini.

"Kami bukannya menang ke atas pasukan yang lebih baik selain tidak dapat meraih keputusan yang lebih baik dengan pasukan yang lebih bawah,” katanya dalam majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi pasukan di Petaling Jaya hari ini.

Bekas jurulatih Selangor itu juga turut menamakan K. Gurusamy sebagai kapten pasukan susulan penghijrahan S. Subramaniam ke skuad Kuala Lumpur.

"Kami adalah pemain profesional dan kami menyahut cabaran ini dengan positif. 

"Saya berharap dapat mengetuai pasukan untuk mencapai kemenangan dan mengharungi musim ini dengan baik," kata pemain tengah itu.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen